Sains dan teknologi akan membantu usahawan untuk berinovasi dan bergerak lebih laju. Perkara inilah yang membantu dan mendorong 3 pengasas bersama Syarikat Nimble yang berpangkalan di Amerika Syarikat menggabungkan pengalaman luas mereka dalam industri pengembangan teknologi, pemasaran dan rekabentuk untuk melancarkan jenama produk teknologi peribadi yang bersumberkan bahan kitar semula.
Dengan latarbelakang yang kuat dalam industri dan mendapat suntikan dana permulaan daripada pelabur sebanyak USD 2.5 juta dua tahun yang lalu, Nimble tidak membuang masa untuk memasuki pasaran teknologi dengan kotak telefon bimbit yang terbuat dari 100% botol plastik kitar semula.
Konsep mereka mudah – 1) iaitu kembangkan dan gunakan produk yang terbuat dari bahan kitar semula dari tapak pelupusan sampah, 2) berfungsi dan telus sebagai entiti perniagaan dan 3) memberi keunikan kepada pelanggan untuk mudah menyokong produk mesra alam yang mereka gunakan setiap hari.
Daripada setiap jualan, syarikat itu akan menyumbang 5% kepada mereka yang bekerja untuk melindungi lautan dan hidupan laut. Ini sejajar dengan misi syarikat untuk mengurangkan pencemaran melalui pengumpulan bahan kitar semula untuk dibuat pelbagai produk lain.
“Lautan kita dipenuhi dengan plastik. Kami tidak berminat untuk menggunakan plastik baru untuk membuat casing telefon. Hampir semua casing telefon yang dibuat hari ini memerlukan pengeluaran bahan yang baru sedangkan terdapat banyak bahan plastik yang sudah ada di ekosistem. ” kata CEO Ross Howe.
Produk terbaru mereka yang diselia oleh Howe sebagai pengasas bersama, Kevin Malinowski, ketua pemasaran, dan John Bradley sebagai ketua kreatif, hanya dinamakan Disc Case. Ini adalah case pelindung pertama untuk iPhone yang dibuat dari cakera padat kitar semula 100%.
Prosesnya melibatkan pengumpulan CD, membersihkannya dan menggunakan komponen polikarbonat untuk casing telefon. Menggunakan bahan kitar semula bagi menghindarkan keperluan plastik dara, malah sarung telefon ini juga boleh dikitar semula apabila tidak lagi dapat digunakan.
Nimble juga mengeluarkan pengecas mudah alih yang diperbuat berasaskan tumbuhan seperti jagung dan tebu. Peranti ini juga menggabungkan aluminium kitar semula dan kristal mineral semula jadi, mika, yang menjadikan bahagian luarnya tidak mudah tergelincir.
Semua produk ini dilengkapi dengan beg biodegradasi dan label surat masuk prabayar yang memudahkan anda menyertai program kitar semula, e-waste syarikat One-for-One Tech Recovery Project. Semua peranti, kotak telefon, kabel dan telefon bimbit dihantar terus ke rakan kitar semula e-waste untuk pembongkaran dan kitar semula yang betul. Nimble juga telah bekerjasama dengan Verizon Wireless sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat telekomunikasi untuk menawarkan lebih banyak pilihan mesra alam kepada pelanggannya.
“Sejak Ogos 2018, kami telah mengumpulkan lebih dari 3,000 lbs e-waste, casing telefon dan cakera padat dari pelanggan kami untuk reclamation (penambakan) yang betul oleh Homeboy Electronics Recycling dan rakan lain”.
Setiap produk dihantar menggunakan 100% bebas plastik, seperti kertas sekerap yang dikitar semula tanpa dakwat atau pewarna berbahaya. Setiap pakej penghantaran dapat dikitar semula dan dibiodegradasikan sepenuhnya.
Tidak semua perniagaan boleh dikawal secara dalaman, jadi apabila Nimble bergantung pada pembekal, mereka mesti bersetuju untuk mematuhi Kod Tatalaku Pembekal (Supplier Code of Conduct). Ini bermaksud semua pembekal dinilai dan disahkan untuk memastikan bahawa mereka berkongsi nilai-nilai Nimble mengenai hak pekerja, bahan lestari dan pengurangan kesan terhadap alam sekitar.
Untuk makluman semua, Syarikat Nimble adalah salah satu daripada lebih 3,600 Certified B Corporations, yang bermaksud memenuhi standard tertinggi Pertimbangan Manusia Dan Alam Sekitar .
Jika anda menyokong usaha-usaha mereka, bolehlah membeli di laman web syarikat tersebut disini: –> Nimble
Rumusan yang boleh dibuat ialah, kesedaran penjagaan alam sekitar, seperti udara, laut dan darat memang memerlukan kepakaran teknologi dan inovasi dari usahawan yang sedar akan kepentingan memelihara dan memulihara planet bumi ini.
Kalau tak silap admin, di negara kita juga ada usahawan yang telah membuat beg, kulit buku dan pelapik meja yang diperbuat menggunakan serat daun nanas. Usaha-usaha ini perlu diketengahkan dan dihebahkan seluas-luasnya daripada semua pihak agar ia mendapat sambutan di samping mengurangkan pembuangan bahan yang sepatutnya bermanfaat untuk masyarakat.
Baca Juga: Cermin Mata Hitam Dicipta Daripada Sisa Plastik Di Lautan
Sumber: https://www.gonimble.com/