SDG 9 – Industri, Inovasi Dan Infrastruktur. Tahniah anda masih berminat untuk terus membaca berkenaan topik Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).
Kali ini kita akan berkongsi secara lebih mendalam sasaran matlamat pembangunan mampan ke-9 iaitu industri, Inovasi & Infrastruktur
Topik apa ini? Mari kita rungkaikan satu persatu. Semoga kita mendapat lebih kefahaman tentang matlamat yang ingin dicapai ini.
1.INDUSTRI
Bila sebut industri kita akan terbayangkan kilang -kilang. Di Malaysia terdapat pelbagai jenis industri yang memberikan jutaan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Contohnya industri pembuatan kereta di Malaysia telah menghidupkan rantaian industri-industri lain bagi menghasilkan & membekal bahagian-bahagian kereta yang mempunyai hampir ribuan bahagian.
Sekaligus kita dapat melihat perubahan ketara pada kemajuan Malaysia yang berubah dari negara pertanian kepada sebuah negara industri dengan peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat.
Selain itu, industri juga terbahagi kepada pelbagai lagi sektor-sektor lain seperti industri pelancongan, tekstile, pembuatan, pertanian dan lain-lain.
2.INOVASI
Bila berbicara tentang inovasi kita akan terbayang tentang teknologi-teknologi dan mesin-mesin hebat dan canggih yang memudahkan kehidupan seharian kita
“A machine is anything that reduces human effort. Anything that simplifies work, or saves time, is a machine..”-Rancho. (Petikan filem 3 Idiots)
Siapa yang minat filem Bollywood pasti pernah melihat babak ini di dalam filem 3 Idiots lakonan Amir Khan sebagai Ramcho, seorang pelajar genius yang ditanya oleh pensyarah beliau berkenaan definisi mesin.
Rancho memberikan contoh mudah seperti jika kita merasa panas, kita hanya perlu tekan suis di dinding utk menghidupkan kipas, bercakap dengan sahabat kita beratus kilometer menggunakan telefon adalah mesin.
Kalkulator yang dapat mengira sekelip mata juga adalah sebuah mesin. Senang cerita kehidupan kita sekarang telah dikelilingi dengan pelbagai mesin hasil dari inovasi dan teknologi yang telah memudahkan segala urusan kita.
3.INFRASTRUKTUR
Apa itu Infrastruktur? Infrastruktur merujuk kepada kemudahan asas dan sistem yang digunakan bagi sesebuah negara, bandar, atau kawasan, termasuk perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan untuk ekonomi berfungsi.
Ia biasanya bercirikan struktur teknikal seperti jalan, jambatan, terowong, pembentung, grid elektrik, telekomunikasi, dan sebagainya, dan boleh ditakrifkan sebagai “komponen fizikal sistem saling berkaitan yang menyediakan komoditi dan perkhidmatan yang diperlukan untuk membolehkan, mengekalkan, atau meningkatkan kualiti hidup masyarakat.”
(Rujukan www. wikipedia.com)
Jika sudah memahami 3 perkara diatas, mari kita membincangkan dengan lebih serius berkenaan SDG ke-9. Apakah kepentingan dan sasarannya?
SDG KE-9 : INDUSTRI, INOVASI & INFRASTRUKTUR
Mengapa matlamat ini penting dan perlu diketengahkan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan?
Untuk maklumat semua, lebih separuh penduduk dunia kini hidup di bandar. Pelaburan dalam infrastruktur dan inovasi merupakan pemacu penting dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
Pengangkutan awam dan tenaga boleh diperbaharui menjadi semakin penting, sama seperti pertumbuhan industri baru, teknologi maklumat dan komunikasi.
Untuk menangani cabaran ekonomi dan persekitaran yang semakin kritikal. Kemajuan teknologi amat penting bagi mencari penyelesaian yang konkrit.
Sebagai contoh, menyediakan peluang pekerjaan baru dan mempromosikan teknologi cekap tenaga. Memperkenalkan dan mempromosikan industri yang mampan, dan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi saintifik merupakan kaedah atau jalan yang dapat membantu perkembangan pembangunan mampan.
Yang lebih membimbangkan kini lebih dari 4 bilion orang masih tidak mempunyai akses Internet, dan 90 peratus populasi tersebut adalah dari negara membangun. Kita dapat melihat jurang digital yang sangat besar berlaku ketika ini.
Merapatkan jurang digital adalah sangat penting bagi memastikan semua manusia mendapat akses yang sama kepada sumber informasi dan ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung dapat memupuk perkembangan inovasi dan keusahawanan secara menyeluruh.
FAKTA & ANGKA
-2.3 bilion – 2.3 bilion orang tidak mempunyai akses kepada sanitasi asas di seluruh dunia.
-40% – Di beberapa negara Afrika yang berpendapatan rendah, kekangan ekonomi bagi pembangunan infrastruktur telah mengurangkan produktiviti perniagaan kira-kira sebanyak 40 peratus.
-2.6 bilion – 2.6 bilion orang di negara membangun tidak memiliki akses kepada sumber elektrik yang berterusan dan mampan.
-90% – Lebih daripada 4 bilion orang masih tidak mempunyai akses untuk melayari Internet. 90 peratus daripada mereka berada di negara membangun.
-2.3 juta – Sektor tenaga boleh diperbaharui kini menggunakan lebih daripada 2.3 juta orang, jumlahnya boleh mencapai 20 juta menjelang tahun 2030.
-30% – Di negara-negara membangun, hanya hampir 30 peratus produk pertanian diproses secara industri. Berbanding 98 peratus hasil pertanian bagi negara berpendapatan tinggi.
SASARAN SDG Ke-9
Jadi apakah sasaran yang telah ditetapkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam SDG ke-9 ini?
Secara asasnya, matlamat utamanya adalah untuk membina infrastruktur yang berdaya tahan, menggalakkan perindustrian inklusif yang mampan dan memupuk inovasi.
Di sini kami perjelaskan lebih terperinci lagi bagi mencapai matlamat utama diatas.
1. Mewujudkan infrastruktur yang berkualiti, boleh dipercayai, mampan dan berdaya tahan, termasuk infrastruktur serantau dan transponder untuk menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan manusia, dengan memberi tumpuan kepada akses yang berpatutan dan saksama untuk semua.
2. Menggalakkan perindustrian yang inklusif dan mampan menjelang 2030 dengan melihat peningkatan ketara penggajian pekerja dan keluaran dalam negara kasar (KDNK), selaras dengan kemampuan negara, dan menggandakan bahagiannya di negara-negara kurang maju.
3. Meningkatkan akses perusahaan perindustrian kecil dan lain-lain, khususnya di negara-negara membangun, kepada perkhidmatan kewangan, termasuk pemberian kredit yang mampu dimiliki, dan meningkatkan integrasi perindustrian kecil dengan rantaian nilai dan pasaran.
4. Menjelang 2030, infrastruktur dan industri retrofit di naik taraf untuk menjadikannya lebih mampan, dengan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui penggunaan teknologi dan proses perindustrian yang lebih bersih dan pemeliharaan alam sekitar yang lebih baik, dengan semua negara mengambil tanggungjawab selaras dengan keupayaan masing-masing.
5. Meningkatkan penyelidikan saintifik, menaik taraf keupayaan teknologi dan sektor perindustrian di semua negara, khususnya negara-negara membangun menjelang 2030.
Disamping itu, menggalakan peningkatan inovasi dengan meningkatkan jumlah pekerja bagi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi setiap 1 juta orang serta meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan awam dan swasta.
6. Melancarkan pembangunan infrastruktur yang mampan dan berdaya tahan di negara-negara membangun melalui sokongan kewangan, teknologi dan teknikal yang dipertingkatkan di negara-negara Afrika, negara yang kurang maju, negara-negara membangun yang terkandas dan negara-negara kecil dan membangunkan 18 negara
7. Menyokong pembangunan teknologi dalam negeri, penyelidikan dan inovasi di negara-negara membangun, disamping memastikan dasar-dasar yang diamalkan bersifat kondusif diantara kepelbagaian industri dan mempunyai tambah nilai kepada komoditi.
8. Peningkatkan yang signifikan bagi akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi serta berusaha untuk menyediakan akses Internet yang universal dan terjangkau di negara-negara paling kurang maju menjelang 2020
(Sumber : www.undp.org)
Berikut adalah lapan poin pencerahan dari sasaran yang perlu dicapai bagi menjayakan SDG ke-9 ini.
Secara keseluruhannya kita dapat melihat bahawa SDG ke-9 ini menitikberatkan tentang penglibatan inovasi, teknologi maklumat, ilmu, keusahawanan dan ketersediaan infrastruktur yang boleh menyokong perkembangan masyarakat disebuah negara.
Kita seharusnya mensyukuri kerana kita bukan diantara 4 billion orang yang tidak mempunyai akses kepada ilmu dihujung jari. Masih ramai manusia didunia ini yang tidak menikmati kemudahan dan kesenangan yang kita rasai. Terutamanya mereka di pendalaman dan juga negara-negara yang sedang membangun.
Semoga kita mensyukuri nikmat dan terus peka dan bertindak menurut kemampuan kita bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan demi keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat.