Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Air Bersih Dan Sanitasi?
SDG 6-Sumber Air Bersih Dan Sanitasi. Mari kita rungkaikan satu persatu untuk mendapatkan lebih kefahaman berkenaan topik yang akan kita bincangkan.
Bila disebut air bersih semua orang boleh membayangkan air minuman atau air yang keluar dari paip air rumah kita untuk kegunaan seharian.
Manakala sanitasi pula adalah sistem kawalan kebersihan awam seperti sistem kumbahan dan limbahan.
Secara lebih terperincinya, Air (H2O) merupakan sebatian kimia yang berada dalam bentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik.
Air meliputi 70% daripada permukaan bumi. Setiap kehidupan di bumi ini memerlukan air untuk terus hidup. Ini bermakna air merupakan entiti terpenting bagi setiap sel-sel kehidupan. Tanpa air tidak mungkin kehidupan didunia ini dapat bertahan hidup.
Namun tidak semua air boleh diminum begitu sahaja tanpa melalui proses penapisan dan pembersihan sehingga disah selamat untuk digunakan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Manakala sanitasi pula boleh difahami sebagai sistem kawalan kebersihan awam, termasuk bekalan air bersih, pembuangan sampah dan pembuangan najis.
Jika di Malaysia kita boleh perhatikan terdapat beberapa syarikat swasta atau syarikat pautan kerajaan (GLC) yang telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan bekalan air, pengurusan sisa kumbahan dan pembuangan sampah seperti Syabas, Indah Water, Alam Flora dan sebagainya.
Oleh itu apa kaitannya isu air bersih dan sanitasi menjadi salah satu Matlamat Pembangunan Mampan Keenam (6) ini. Apakah sasaran yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) bagi isu ini?
Wahai pembaca budiman.
SDG ke-6 meletakan matlamat utamanya adalah untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada sumber air bersih dan sistem sanitasi yang baik.
Kenapa? Adakah kita tidak mendapat akses kepada keperluan asas ini? Ya benar.tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmati apa yang kebanyakan dari kita nikmati di bumi Malaysia bertuah ini. Tapi jangan mudah merasa selesa, keperluan air di Malaysia juga semakin meningkat saban tahun.
Berdasarkan perkembangan global sekarang. Keperluan untuk air telah melebihi perkembangan populasi dunia, separuh daripada penduduk bumi kini pasti menghadapi masalah bekalan air sebulan dalam setahun. Kita juga biasa menghadapi situasi sukar ketika bekalan air di catu apabila tiba musim kemarau.
Akses kepada air, sanitasi dan kebersihan merupakan hak setiap manisia, namun masih terdapat berbillion manusia pada saat ini masih menghadapi kesukaran dan cabaran hanya untuk mendapatkan keperluan paling asas ini.
Terutamanya dibahagian Sub Afrika dan kawasan pendalaman termasuk juga masyarakat yang kurang bernasib baik di Malaysia.
Untuk pengetahuan anda sekalian, 3 daripada 10 manusia tidak mempunyai akses kepada pengurusan air yang selamat. Malahan ,kira-kira 3 billion manusia pula tidak mempunyai akses asas kepada perkhidmatan sanitasi seperti tandas, bilik mandi dan pengurusan sisa kumbahan & sampah yang baik.
Lebih daripada 80% air kumbahan daripada aktiviti manusia di dunia dibuang ke sungai atau laut tanpa dirawat telah menyebabkan pencemaran dan kerosakan alam yang serius.
Lalu apakah kesannya terhadap masa depan penduduk dunia dan anak-anak kita semua?
Musibah paling besar bagi manusia adalah kematian! Dan kematian berpunca dari penyakit bawaan air dan sistem sanisati yang teruk telah menyumbang kepada kematian yang sangat besar!.
Terutamanya melibatkan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Apa yang lebih menyedihkan dan amat dikesali, lebih daripada 800 kanak-kanak mati setiap hari disebabkan oleh penyakit cirit-birit.
Faktornya kerana mereka terdedah kepada sumber air yang tercemar dan persekitaran yang kotor disebabkan tiada sistem pengurusan sisa kumbahan yang baik. Sekaligus menyebabkan sumber air yang digunakan tercemar dan menyumbang kepada kematian anak-anak kecil.
Air bersih dan sistem sanitasi yang baik merupakan kunci kepada kejayaan untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan.
Dengan menguruskan sumber air secara mampan, kita mempunyai kelebihan untuk meningkatkan dan menguruskan penghasilan makanan dan tenaga sekaligus menyumbang kepada peluang pekerjaan yang baik dan perkembangan ekonomi negara.
Malahan, ekosistem air, kepelbagaian bio dapat dipelihara sebaiknya dan ia akan memberi kesan positif terhadap perubahan iklim dunia.
Berapakah Anggaran Kos Yang Diperlukan Untuk Menyelesaikan Masalah Ini?
Berdasarkan kaji selidik daripada Kumpulan Bank Dunia, UNICEF dan World Health Organization (WHO) , anggaran kos bagi memperluaskan keperluan sumber air asas dan perkhidmatan sanitasi kepada yang memerlukan peruntukan sebanyak USD $28.4 billion setahun diperlukan.
Dana ini diperlukan dari tahun 2015 hingga 2030. Dan kos ini sebenarnya hanyalah 0.10 % daripada penghasilan dunia dari 140 negara terlibat dalam kaji selidik ini.
Namun Jika Dibiarkan Isu Ini Berlanjutan Tanpa Tindakan, Berapa Pula Kos Yang Harus Ditanggung?
Kos pembiayaannya akan menjadi sangat besar berat untuk ditanggung penduduk dunia dan ekonomi dunia.
Diseluruh dunia, sebanyak 2 juta orang telah mati setiap tahun dsebabkan oleh penyakit cirit-birit. Sistem sanitasi yang tidak terjamin dan sumber air tercemar telah menjadi penyebab terhadap 90% kematian dan kebanyakan mangsanya adalah kanak-kanak.
Kesan ekonomi apabila pelaburan kepada pengurusan air dan sanitasi tidak dijalankan telah memberi kesan kepada 4.3% daripada KDNK Afrika sub-Sahara.
Bank Dunia juga menganggarkan bahawa 6.4% daripada KDNK India hilang akibat kesan buruk ekonomi dan kos sanitasi yang tidak dipenuhi keperluannya.
Tanpa infrastrutur dan pengurusan yang baik. Jutaan manusia akan terus mati setiap tahun dan meningkatkan risiko kemusnahan kepelbagaian bio dan ketahanan ekosistem, ini akan melemahkan kemakmuran dan usaha kearah masa depan yang mampan.
Sebagai Masyarakat Yang Peka Terhadap Isu Ini, Apa Yang Boleh Kita Lakukan?
Salah satunya adalah gerakan masyarakat setempat harus berusaha untuk memastikan kerajaan dan badan pelaksana bertanggungjawab untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan air bersih.
Meningkatkan keterlibatan oleh semua kaum, belia dan komuniti asal dalam pengelolaan sumber air. Kerana pandangan,idea dan maklum balas dari golongan marhaen diperlukan bagi memastikan sesuatu keputusan dibuat dengan betul dalam membantu kearah mencapat matlamat pembangunan mampan.
Selain ini, kita perlu meningkatkan kesedaran tentang peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak dan bertindak secara proaktif.
Usaha ini akan menjurus kearah keputusan menang-menang dan meningkatkan kelestarian dan integriti bagi kedua-dua sistem diantara pembangunan manusia dan ekologi.
Malahan, anda juga boleh terlibat dalam kempen Hari Air Sedunia dan Hari Tandas Sedunia yang bertujuan untuk memberikan maklumat dan inspirasi bagi kita sama-sama mengambil tindakan terhadap isu kebersihan air dan sanitasi yang diadakan saban tahun.
Ingat ya, kita sebagai manusia bukan sahaja bertanggungjawab keatas pengurusan air untuk manusia, tetapi juga kepada sekalian alam, termasuklah untuk pengairan tanaman dan juga minuman kepada haiwan dan lain lain.
Demikian perkongsian di mampankini.com, semoga anda menjadi masyarakat yang celik dan peka terhadap perkembangan semasa dunia dan isu-isu global yang meresahkan kita semua.
Kita mampu membuat perubahan demi masa depan yang lebih Mampan!
Baca Juga: SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar
Artikel Diatas Di kongsikan Oleh:
Sumber: https://sustainabledevelopment.un.org