SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar

SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar

SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar. Pernahkah anda menonton filem Interstellar? Filem ini adalah di antara filem terbaik yang pernah dihasilkan oleh pengarah, Christopher Nolan. Ia berkisar tentang ekspedisi penerokaan alam semesta dalam misi mencari ‘Bumi’ baru bagi umat manusia.

Penulis bukannya ingin membuat ‘review’ tentang filem ini, tetapi ingin mengajak pembaca melihat kaitannya dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) yang kita sudah bincangkan secara ringkas sebelum ini.

Di dalam filem ini, manusia digambarkan akan mengalami bencana krisis makanan yang sangat teruk pada pertengahan abad ke-21, akibat dari serangan perosak ke atas tanaman.

Selain itu, iklim ekstrem juga menyebabkan berlakunya ribut berdebu yang membawa penyakit. Akibat krisis kemanusiaan inilah watak-watak utama dalam filem ini berusaha mencari penempatan baru yang menyerupai planet Bumi. Jika ingin tahu lebih lanjut, bolehlah tonton sendiri hingga ke penghujungnya.

Apa yang ingin penulis bincangkan di sini, adalah kaitan asas penceritaan filem ini dengan poin SDG yang kedua iaitu Sifar Kebuluran.

Walaupun secara realistiknya, penerokaan galaksi lain masih sesuatu yang masih dianggap mustahil, namun krisis kemanusiaan akibat kekurangan sumber makanan yang digambarkan dalam filem tersebut sebenarnya adalah sesuatu barangkali boleh berlaku.

SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar

Malah ketika anda sedang membaca penulisan ini, kira-kira 821 juta manusia sedang mengalami kekurangan makanan berzat, dengan dua pertiga daripadanya tinggal di bahagian sub-Sahara Afrika dan bahagian selatan Asia.

Hairan bukan? Masakan ada orang yang masih kelaparan sedangkan kita di Malaysia dianugerahi dengan nikmat makanan yang melimpah ruah.

Di negara kita, SWCorp melalui datanya pada tahun 2017 menganggarkan kira-kira 16,888 tan metrik sisa makanan dibuang setiap hari oleh rakyat Malaysia, yang cukup untuk memberi makan 12 juta orang dalam sehari.

Ini adalah salah satu isu yang ingin ditangani melalui gerakan SDG kedua ini iaitu yang matlamat secara terperincinya seperti di bawah:
>Sifar Kelaparan
>Mencapai Jaminan Keselamatan Makanan (Food Security)
>Mempelopor Pertanian Secara Mampan (Sustainable Agriculture)

Perkara kedua dan ketiga di atas akan kita huraikan lebih lanjut dalam penulisan-penulisan seterusnya. Antara fakta-fakta lain yang perlu diambilkira adalah:

>22% atau 149 juta dari kanak-kanak berumur lima tahun kebawah di seluruh dunia mengalami masalah pertumbuhan terbantut akibat kurang zat makanan (UN)

>17.7% kanak-kanak dan remaja di Malaysia berusia 5-19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut (WHO)

>15% dari kalangan kanak-kanak miskin bandar di Malaysia mengalami masalah kekurangan berat badan dan 23% bermasalah pertumbuhan terbantut (UNICEF)

>Kekurangan nutrisi menyebabkan kematian kepada kira-kira 45% dari kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di seluruh dunia atau 3.1 juta kanak-kanak setiap tahun (UN)

SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar

Kebajikan kanak-kanak adalah perkara yang perlu diambil serius kerana mereka adalah generasi penerus kita. Maka ayuh saudara-saudari kita mengambil langkah proaktif untuk menyumbang kepada pencapaian Pembangunan Mampan.

Mulakanlah di rumah, tempat kerja atau di komuniti masing-masing. Antara perkara yang boleh kita lakukan adalah:

1) Mendokong petani atau pasaran tempatan dengan membeli produk makanan tempatan supaya sektor pertanian terus berkembang

2) Memastikan keluarga dan anak-anak mendapat makanan dengan gizi seimbang setiap hari. Gunakanlah pendekatan yang bijak supaya mereka tidak memilih makanan

3) Bersama menentang pembaziran makanan! Masaklah dalam kuantiti yang diperlukan. Jika makan di luar, ambillah dalam kuantiti yang kita pasti akan habiskan.

4) Bagi yang mempunyai halaman rumah, bolehlah berjinak-jinak dengan berkebun secara mini. Selain dapat makan sayur-sayuran hasil tangan sendiri, kita juga dapat menyihatkan badan melalui aktiviti fizikal.

5) Manfaatkan suara anda sebagai pengguna dan penyumbang cukai dengan menuntut sektor perniagaan dan kerajaan untuk membuat perubahan ke arah Sifar Kelaparan dan Sifar Pembaziran.

Baca Juga: Apa Itu Sustainable Development Goal

 

Oleh: Fathi Abd Rashid

 

Sumber:
https://www.un.org/sustainabledevelopment/hunger/
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/510550/bazir-makanan-16688-tan-sehari
https://www.utusan.com.my/rencana/utama/bendung-pembaziran-makanan-1.779173
https://www.sinarharian.com.my/article/17649/SISIPAN/Sinar-Aktif/anak-kurang-nutrisi

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami