SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

Dunia saat ini sedang dimomok kekalutan lantaran digemparkan oleh epidemik coronavirus yang amat menakutkan. Di bandar-bandar besar di Asia terutamanya, kita dapat melihat ramai orang awam yang mempunyai kesedaran tinggi memakai topeng muka demi menghindari jangkitan virus yang mengancam nyawa itu.

Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak lebih 40,000 kes direkodkan dan lebih 800 nyawa telahpun menjadi mangsa, korban kepada virus novel 2019-nCOV. Sungguh insiden ini merupakan suatu tragedi kemanusiaan yang tragis lagi menghibakan.

SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

Dalam kita menerobos era globalisasi masa kini, kerjasama antarabangsa adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dalam menangani ancaman serius seperti ini.

Perkara ini membawa kita kepada SDG 17 – ‘Kerjasama Demi Matlamat’, matlamat yang terakhir dalam senarai SDG sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB mendefinisikan kerjasama sebagai “kolaborasi hubungan secara sukarela di antara pelbagai pihak, kerajaan atau bukan kerajaan, di mana semua peserta bersetuju untuk bekerja secara bersama dalam mencapai tujuan yang sama atau mengambil tugasan khusus dan berkongsi risiko dan tanggungjawab, sumber serta manfaat.”

Di saat krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Wuhan, China terus menular, kesan daripada pelbagai jenis malapetaka lain terus menagih sumber kewangan dan bantuan daripada semua pihak.

Jangan kita terlupa bahawa ada juga banyak negara lain yang memerlukan bantuan berterusan demi membangun semula kesan peperangan dan sebagainya.

China sebagai kuasa besar dunia ternyata mampu membina hospital dengan kadar pantas demi menempatkan ribuan rakyatnya yang dijangkiti coronavirus.

Cuba kita bayangkan jika perkara yang sama terjadi di sebuah negara kecil dan miskin seperti Malawi misalnya. Apakah masyarakat antarabangsa hanya melihat sahaja rakyat negara itu dijangkiti atau lebih buruk lagi – terbunuh seorang demi seorang?

Satu contoh kerjasama yang cukup baik sewaktu tragedi ini berlaku adalah apabila syarikat penerbangan Air Asia telah secara sukarelanya menerbangkan warga Thailand pulang ke Thailand dari China, setelah menyelamatkan warganegara kita sendiri keluar dari negara tembok besar itu, walaupun mengetahui terdapat risiko kesihatan yang tinggi dan kritikal. Tindakan yang tidak mementingkan diri sebeginilah yang wajar dicontohi oleh semua pihak.

SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

Seperti yang telah dikongsikan oleh para penulis tamu di dalam beberapa artikel di laman web mampankini.com sebelum ini, ada 16 matlamat lain yang perlu dicapai dalam SDG 2030.

Namun, kesemua 16 matlamat yang telah ditetapkan itu hanya akan berjaya dilaksanakan sekiranya wujud usahasama dan kerjasama yang kukuh secara global untuk dizahirkan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, manusia kini kian lebih terhubung jika dibandingkan dengan zaman-zaman sebelum ini. Kita dapat berhubung dan mempunyai akses kepada hampir sesiapa atau apa sahaja informasi dan ilmu dengan menggunakan jaringan internet.

Pelbagai teknologi komunikasi yang semakin mudah digunakan seperti WhatsApp, WeChat mahupun Facebook sudah menjadi kegunaan yang menjadi kemestian saban hari.

Memperbaiki akses kepada teknologi dan sumber ilmu pengetahuan adalah jalan terbaik untuk berkongsi idea dan mencetuskan inovasi dalam menangani segala isu mahupun cabaran yang hadir.

sdg17

Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon yang juga penerima Ijazah Kehormat Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mampan sewaktu hadir di Malaysia pernah berkata,

“Untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, kita (dunia) memerlukan bantuan semua pihak termasuk kerjasama di antara kerajaan, masyarakat dan ahli akademik.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dengan mendokong pelan pembangunan negara yang mendokong SDG 2030 yang dibentangkan PBB dalam mencapai kesemua sasarannya.

SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) telah menganggarkan, jumlah dana yang diperlukan dalam menjayakan matlamat-matlamat SDG 2030 adalah berjumlah antara USD 5 trillion hingga USD 7 trillion atau bersamaan dengan RM 21 trillion hingga RM 30 trillion setahun.

Namun, dana yang sebesar itupun belum lagi dapat menjamin kejayaan usaha yang murni ini jika kesemua pihak masih lagi mementingkan diri sendiri dan tidak mengenepikan ego masing-masing demi kejayaan dan kemaslahatan bersama.

Menggalakkan perdagangan antarabangsa dan membantu negara membangun untuk meningkatkan eksport misalnya, adalah salah satu daripada cara untuk mencapai sistem dagangan yang universal dan adil serta terbuka kepada semua. Yang lebih penting, sistem sebegini juga akan memberi manfaat buat semua pihak.

Sebenarnya, fokus matlamat SDG yang ke-17 ini merangkumi bidang teknologi, kewangan, pembinaan kapasiti, perdagangan dan isu sistemik tetapi penulis lebih tertarik untuk mengutarakan betapa pentingnya usahasama antarabangsa dan kerjasama secara global, berlatarbelakangkan isu semasa.

Penulis hanya membawakan contoh ini sebagai suatu penekanan agar para pembaca mendapat suatu gambaran secara mudah dan jelas mengenai Matlamat SDG yang ke-17 ini. Tambahan pula, untuk membincangkan topik-topik yang lain, sudah pastilah artikel ringkas seperti ini tidak akan mencukupi.

Peningkatan ketidakseimbangan di antara benua dan populasi dunia kesan daripada perebutan kuasa dan transformasi dalam kepimpinan negara adalah suatu contoh cabaran yang bakal dihadapi oleh masyarakat antarabangsa dalam beberapa tahun yang mendatang.

Agenda SDG 2030 khususnya yang ke-17 ini adalah peluang yang cukup baik untuk kita menilai semula dan menambahbaik hubungan diplomatik pentadbiran dan kerjasama secara global untuk seluruh masyarakat antarabangsa demi kebaikan umat manusia.

SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

Penulis yakin, sesungguhnya cabaran-cabaran ini akan dapat diatasi sekiranya semua pihak bersatu padu dan berusaha dalam kerjasama erat yang tidah berbelah bagi, demi memastikan segala matlamat yang kita idamkan secara sebulat suara tersebut akan tercapai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Sudah tentulah perkara ini sememangnya lebih mudah diperkatakan daripada dilaksanakan. Tuntasnya, masih begitu banyak perkara yang wajib dilakukan dan tindakan yang perlu diambil oleh semua pihak.

Pastilah banyak pengorbanan juga yang dituntut untuk mencapai kesemua matlamat SDG demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan sejagat, bak kata pepatah Melayu “muafakat membawa berkat”.

 

Di Tulis Oleh: Fazrul Ekram

 

RUJUKAN

https://www.sdgfund.org/goal-17-partnerships-goals

https://sdgcompass.org/sdgs/sdg-17/

http://worldpopulationreview.com/countries/poorest-countries-in-the-world/

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/amanat-pembangunan-mapan-ban-ki-moon-kepada-malaysia-223818

Approaches to SDG 17 Partnerships for the Sustainable Development Goals, edited by the Global University Network for Innovation (GUNi)

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami