SDG 16 – Keamanan, Keadilan Dan Institusi Yang Kukuh

Sasaran SDG  16 (Sustainable Development Goals). Kita tidak boleh berharap kepada suatu pembangunan yang mampan tanpa keamanan, kestabilan, hak asasi manusia dan tadbir urus yang efektif berdasarkan kedaulatan undang-undang.

Namun, dunia kita semakin terbahagi. Sesetengah tempat menikmati keamanan, keselamatan dan kemakmuran, sementara yang lain berada dalam kitaran konflik dan keganasan yang tidak berkesudahan.

Sebagai contoh dalam filem komik fiksyen Marvel, DC, Walt Disney dan sebagainya memaparkan jalan cerita yang sarat dengan misi kemanusiaan, memberikan semula hak kepada yang berhak dan membenteras jenayah.

sdg 16

Kenapa filem seperti ini sangat mendapat sambutan? Ini kerana lumrah manusia memerlukan kesejahteraan, keamanan yang datang dari keadilan dan kesaksamaan menurut hak asasi manusia.

Secara alaminya, manusia benci kepada penindasan dan keganasan. Ia sama sekali tidak membawa kepada kehidupan yang berkelangsungan dari satu generasi ke satu generasi.

Keganasan bersenjata dan ketidakselamatan memberikan impak yang memusnahkan pembangunan sesebuah negara, memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, dan sering mengakibatkan sungutan yang berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi.

sdg 16

Keganasan seksual, jenayah, eksploitasi dan penderaan berleluasa di mana terdapatnya konflik, atau tiada kedaulatan undang-undang, dan negara-negara harus mengambil langkah-langkah untuk melindungi mereka yang paling berisiko.

Peranan kedaulatan undang-undang sangat penting dalam memastikan mereka yang diberikan kuasa tidak menyalahgunakannya.

Ini biasa terjadi di serata dunia malahan di negara kita sendiri. Slogan “rule of law” kebelakangan ini sering dilaungkan kerana negara kita terpalit dengan skandal kewangan yang sangat besar.

sdg 16

Ia malahan telah merubah pola politik negara yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 60 tahun. Ini menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap institusi yang kukuh dan saksama dalam mencapai pembangunan yang mampan.

Sasaran SDG 16 untuk mengurangkan sejumlah besar kadar segala bentuk keganasan, dan bekerja dengan kerajaan dan komuniti bagi menamatkan konflik dan ketidakselamatan.

Mempromosikan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia adalah kunci proses ini, kerana ia mengurangkan rentetan aktiviti haram dan mengukuhkan penglibatan negara membangun dalam institusi tadbir urus global.

Apakah Langkah SDG Ke-16 Untuk Manusia Sejagat?

-Mengurangkan sejumlah besar segala bentuk keganasan dan kadar kematian berkaitan di mana-mana.

-Mengakhiri penyalahgunaan, eksploitasi, pengedaran dan segala bentuk keganasan dan penderaan kanak-kanak.

-Mempromosikan kedaulatan undang-undang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan memastikan kesaksamaan capaian keadilan buat semua.

-Menjelang 2030, mengurangkan sejumlah besar aktiviti kewangan haram, mengukuhkan penemuan dan pengembalian asset-aset yang dicuri dan membenteras segala bentuk jenayah terancang.

-Mengurangkan sebahagian besar korupsi dan rasuah dari pelbagai bentuk.

-Membangunkan institusi yang efektif, bertanggungjawab dan telus di semua peringkat.

-Memastikan keputusan dibuat dengan responsif, inklusif, mempunyai penyertaan dan perwakilan di semua peringkat.

-Memperluaskan dan mengukuhkan penyertaan negara membangun dalam institusi tadbir urus global.

-Menjelang 2030, memberikan identiti sah kepada semua, termasuk pendaftaran kelahiran.

-Memastikan capaian umum kepada maklumat dan melindungi asas kebebasan, menurut undang-undang negara dan perjanjian antarabangsa.

-Mengukuhkan institusi negara berkaitan, termasuk melalui kerjasama antarabangsa, bagi membina kapasiti di semua peringkat, khususnya di negara membangun, bagi mencegah kerosakan dan membenteras keganasan dan jenayah.

-Mempromosi dan menguatkuasakan undang-undang dan polisi tidak berdiskriminasi untuk pembangunan mampan.

SDG 8-Pertumbuhan Ekonomi Dan Pekerjaan Yang Baik

Fakta dan Angka

-Menjelang akhir 2017, 68.5 juta orang telah dipaksa berpindah kesan daripada diskriminasi, konflik, keganasan atau pelanggaran hak asasi manusia.

-Terdapat sekurang-kurangnya 10 juta orang pelarian yang telah dinafikan kewarganegaraan dan hak-hak berkaitan.

-Kos daripada korupsi, rasuah, kecurian dan pengelakan cukai bagi negara membangun sebanyak USD 1.26 trilion setahun.

-49 negara kekurangan undang-undang melindungi wanita daripada keganasan rumahtangga.

-Dalam 46 negara, wanita kini memegang lebih 30 peratus kerusi dalam sekurang-kurangnya satu dewan parlimen.

-1 bilion orang lenyap secara sah kerana mereka tidak dapat membuktikan siapa mereka. Ini termasuk anggaran 625 juta kanak-kanak di bawah umur 14 tahun yang kelahirannya tidak pernah didaftarkan.

 

Rujukan:

Sustainabledevelopment.un.org

Oleh:

ChM. Muhammad Syahren A. dan Nazlina A.A.

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami