“Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa
Bumi yang tiada udara
Bagai tiada nyawa
Pasti hilang suatu hari
Tanpa disedari
Bumi tanpa lautan
Akan kehausan
Pasti lambat laun hilang
Duniaku yang malang”
(Hijau – Zainal Abidin)
Para pembaca pasti pernah mendengar lagu ini. Lagu ini merupakan petikan lirik lagu ‘Hijau’ nyanyian Zainal Abidin Mohamad. Bait-bait lagu ini mempunyai mesej-mesej yang amat mendalam dan menyentuh berkenaan kerakusan manusia dalam menjarah hasil bumi ini.
Kini, bahan mentah yang berharga seperti hutan, udara, sumber makanan, sumber tenaga dan air bersih semakin berkurangan kualiti serta kuantitinya.
Fakta menunjukkan kurang daripada 3 peratus air di dunia adalah air segar iaitu air yang bersih yang boleh diminum. Namun sebanyak 2.5 peratus air tersebut berada di benua Antartika, Artik dan membeku sebagai glasier. Oleh itu, kita hanya bergantung pada 0.5 peratus baki air yang ada untuk semua kelangsungan ekosistem manusia dan minuman air segar.
PEMCEMARAN & PEMBAZIRAN
Jika diperhatikan, manusia mencemari air terlalu cepat sehinggakan alam semula jadi tidak mampu untuk mengitar semula dan membersihkan air di dalam sungai dan tasik.
Ditambah pula dengan penggunaan air berlebihan dan pembaziran yang menyumbang kepada tekananyang tinggi kepada permintaan air secara global.
Pada tahun 2019,kita telah dikejutkan dengan kes pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor. Pembuangan sisa kilang secara berleluasa dan tidak terkawal ke dalam sungai di lakukan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pelajar sekolah dan penduduk setempat menjadi mangsa kebiadapan mereka. Banyak sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup, sehinggalah keadaan udara menjadi pulih.
Mata pencarian para nelayan juga turut terjejas disebabkan oleh kerakusan manusia dalam mengejar kemewahan yang memusnahkan. Hilangnya jati diri dan nilai-nilai kemanusiaan hanya kerana mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar dan kehidupan di bumi.
Kita lihat pula dari segi penggunaan tenaga,walaupun kemajuan teknologi telah meningkatkan keuntungan kecekapan tenaga, penggunaan tenaga di negara-negara OECD akan terus berkembang sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2020.
Peningkatan 32 peratus dalam pemilikan kenderaan juga dijangka menjelang 2020. Pada masa yang sama, jumlah kilometer kenderaan bergerak dijangka meningkat sehingga 40 peratus dan perjalanan melalui udara (kapal terbang) global dijangka meningkat tiga kali ganda dalam tempoh yang sama.
Isi rumah pula menggunakan 29 peratus daripada tenaga global dan seterusnya menyumbang kepada 21 peratus daripada pengeluaran CO2 . Ini telah menyebabkan udara yang kita perolehi adalah tidak baik kepada kesihatan manusia.
Belum lagi ditambah dengan kejadian jerebu,boleh dikatakan jerebu berlaku hampir setiap tahun di Asia Tenggara. Pada tahun ini sahaja Jerebu terlalu teruk, hingga menyebabkan beberapa kematian, antaranya adalah kematian seorang bayi berusia 4 bulan di Palembang, Indonesia.
Adakah kita boleh berbangga dengan pencapaian yang kecapi kini? Tidak terfikirkah kita bagaimana sengsaranya generasi penerus, iaitu anak- anak yang akan terus mendiami bumi ini?
Penggunaan sumber makanan yang tidak terkawal dan pembaziran berlaku setiap hari.Tidak hanya pembaziran di rumah dan di premis pemprosesan makanan,malah juga berlaku dilapangan asal tanah sendiri.
PEMBAZIRAN MAKANAN
3 bilion tan makanan dibazirkan setiap tahun sementara hampir 1 bilion orang makan makanan kurang berkhasiat dan 1 bilion lagi mengalami kelaparan & kebuluran. Pengambilan makanan yang berlebihan telah merugikan kesihatan dan alam sekitar kita.
Sektor makanan menyumbang sekitar 30 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga dunia dan menyumbang sekitar 22 peratus daripada jumlah pengeluaran Gas Rumah Hijau.
Jika hendak diceritakan semuanya tentang fakta kerosakan dan pembaziran yang kita telah lakukan pasti tidak habis dakwat utk menulis. Apa yang menjadi keutamaan adalah bagaimana untuk kita tangani masalah ini dan apa pula sasaran yang perlu kita sepakati bersama dalam menjayakan SDG ke-12 ini.
SDG ke-12: MEMASTIKAN PENGGUNAAN SUMBER YANG LESTARI & MAMPAN
Terdapat 8 sasaran yang telah digariskan dibawah persetujuan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani masalah ini, dan perkara ini berkisar mengenai 3 perkara utama iaitu penggunaan dan kecekapan pengurusan air, tenaga dan makanan.
8 SASARAN SDG ke-12
1. Usahanya perlu bermula sekarang, setiap negara perlu melaksanakan rangka kerja program selama 10 tahun mengenai penggunaan dan produksi yang mampan.
Semua negara harus mengambil tindakan, dengan negara-negara maju yang memimpin dengan mengambil kira pembangunan dan keupayaan negara-negara membangun yang lain.
2.Penglibatan syarikat, terutamanya syarikat-syarikat besar dan transnasional, mereka perlu mengamalkan amalan hijau dan lestari serta mengintegrasikan maklumat kemapanan ke dalam kitaran pelaporan mereka.
3. Menggalakkan amalan perolehan awam yang mampan, selaras dengan dasar dan keutamaan negara.
4. Menjelang 2020, mencapai pengurusan alam sekitar yang baik dari bahan kimia dan semua sisa sepanjang kitaran hayat mereka, mengikut rangka kerja antarabangsa yang dipersetujui .
Mengurangkan pelepasan ke udara, air dan tanah untuk meminimumkan kesan buruk terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
5. Menjelang 2030, diharapkan dapat mencapai pengurusan yang mampan dan penggunaan sumber semula jadi yang lebih cekap.
6. Sisa buangan makanan global per kapita di peringkat runcit dan pengguna dan mengurangkan pembaziran makanan di rantaian pengeluaran dan bekalan, termasuk kerugian selepas tuai.
7. Mengurangkan penjanaan sisa melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula Secara signifikan
8. Pastikan setiap lapisan masyarakat memperolehi maklumat dan kesedaran yang relevan untuk pembangunan dan gaya hidup lestari selaras dengan alam semula jadi.
Penulis dapat simpulkan sasaran ini hanya dapat dicapai sekiranya semua pihak perlu terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merealisasikannya.
Dengan izin Tuhan, Insyallah kita mampu menjayakan bersama dan melihat generasi seterusnya dapat menikmati usaha yang telah kita lakukan hari ini.
‘Oh…Duniaku yang malang…
Ula..la..la.. hey!”
Baca Juga: Fenomena Li Ziqi Dan Apa Kaitannya Dengan SDG 15
Penulis : Shahidan bin Hazman
Disunting oleh : Ahmad Suhaimi
Sumber :
https://