Muhammad Bin Abdullah, atau dikenali di kalangan orang Islam sebagai Nabi Muhammad, adalah tokoh terulung yang sangat terkenal di seluruh dunia.
Baginda dilahirkan pada tahun 571M dan wafat pada tahun 632M. Sepanjang hayat baginda, banyak perubahan yang telah dibawa kepada landskap ketamadunan dunia umumnya dan kepada peradaban Arab khususnya.
Bagi umat Islam, baginda adalah penghulu kepada sekian ramai nabi yang diutus untuk membawa ajaran ketuhanan yang esa yang secara dasarnya bermatlamat untuk membawa rahmat kepada seluruh dunia.
Untuk pembaca yang bukan beragama Islam, anda terbuka untuk mengenali Muhammad dari kacamata orang Islam atau bukan Islam misalnya dari perspektif cendekiawan Barat seperti John L. Esposito.
Beliau mengatakan Muhammad adalah antara tokoh pemimpin, Nabi dan pencetus kebangkitan agama yang mempunyai karakter dan personaliti yang menakjubkan, yang mampu mengilhami keyakinan dan komitmen yang luar biasa.
Menurut Thomas Carlyle pula, kemunculan Muhammad menyebabkan negara Arab ‘terlahir’ semula dari kegelapan kepada cahaya, dari suatu bangsa yang hidup tanpa arah tujuan sehingga menjadi suatu bangsa yang hebat dan penuh keberanian.
Jadi dapat kita lihat, walaupun majoriti masyarakat Barat tidak mahu menerima kebenaran dari risalah yang dibawa oleh Muhammad, tetapi mereka masih mengiktiraf kejayaan perjuangannya sebagai antara yang terhebat pernah tercatat di dalam sejarah dunia.
Banyak intipati ajaran yang disampaikannya dicedok dan digunapakai secara meluas dan masih relevan sehingga sekarang dan akan datang. Antara pelajaran yang ingin penulis petik di sini adalah berkenaan konsep kesaksamaan dan kesamarataan atau sesetengah cendekiawan mengistilahkannya sebagai egalitarianisme.
Egalitarianisme adalah falsafah pemikiran yang mengutamakan kesaksamaan pada seluruh manusia. Ia berdasarkan idea bahawa semua manusia adalah sama dari sudut nilai harga diri dan status moral.
Sejak dari awal fasa kehidupannya lagi, Nabi Muhammad diriwayatkan sebagai seorang yang sangat mengambil berat tentang keadaan masyarakat Arab di kota Mekah.
Mekah ketika itu merupakan sebuah pusat ekonomi yang terkenal kerana kedudukannya yang terletak di pertemuan laluan perdagangan di antara Lautan Hindi dan Mediterranean.
Namun, keadaan masyarakat Arab ketika itu agak tegang akibat pertembungan cara hidup tradisional masyarakat Badwi dengan pengaruh budaya luar yang dibawa oleh pedagang asing.
Ini seterusnya mewujudkan jurang sosial dan ekonomi yang besar di kalangan masyarakat Arab. Penindasan ke atas wanita, perbalahan antara kabilah dan sistem perhambaan malah menyebabkan situasi menjadi lebih buruk.
Isu-isu tersebutlah yang cuba diselesaikan oleh Muhammad dan sebaik diangkat menjadi Rasul (utusan), baginda tidak lagi menoleh kebelakang dalam usahanya itu.
Walaupun menghadapi berbagai dugaan dan cabaran, akhirnya Muhammad dan para sahabatnya berjaya membawa perubahan yang diimpikan di dua kota besar Mekah dan Madinah (Yathrib).
Antara strategi yang dilaksanakan untuk mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin adalah dengan penghapusan sistem riba dan sistem jual beli yang berat sebelah.
Sistem zakat diwujudkan dan golongan miskin diajar untuk bermandiri serta digalakkan untuk terlibat dalam perniagaan. Sistem perhambaan juga sedikit demi sedikit akhirnya berjaya dihapuskan dan maruah serta taraf golongan wanita kembali diangkat dengan memberi hak yang sewajarnya kepada mereka.
Perbalahan antara suku kabilah juga berjaya diselesaikan melalui kewujudan perjanjian persefahaman seperti Piagam Madinah. Malah golongan Yahudi dan Nasrani juga diberi kebebasan untuk tinggal di kota Madinah dengan berpegang pada prinsip agama masing-masing.
Inilah yang menjadi bukti bahawa Muhammad adalah ‘role model’ terbaik dalam usaha kita menangani permasalahan sosio-ekonomi yang semakin serius di dunia masa kini. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), meletakkan matlamat kesepuluh sebagai ‘Mengurangkan Ketidaksamaan’.
Sasarannya adalah mengurangkan ketidaksamaan di dalam dan di antara negara-negara yang terlibat. Ketidaksamaan berdasarkan pendapatan, jantina, umur, bangsa, kelas sosial, etnik, agama dan ketidakupayaan dikesan masih berlaku di seluruh dunia.
Ketidaksamaan ini mampu mengancam pertumbuhan jangkamasa panjang sosio-ekonomi, menghambat usaha membasmi kemiskinan dan merendahkan maruah dan harga diri suatu golongan.
Walaupun kita sudah memasuki ambang tahun 2020, namun masih banyak negara yang terpaksa berusaha keras menggerakkan kempen-kempen seperti membanteras ‘racism’, Islamofobia dan Xenofobia (ketakutan kepada bangsa lain). Antara fakta lain yang perlu diambil kira;
- Pada 2016, 22% pendapatan global diterima oleh golongan 1% teratas berbanding dengan 10% pendapatan untuk golongan 50% terendah.
- Di beberapa negara yang sedang membangun, kanak-kanak dari golongan populasi 20% termiskin mempunyai kebarangkalian tiga kali lebih tinggi untuk meninggal dunia sebelum umur 5 tahun, berbanding dari populasi yang terkaya.
- Perlindungan sosial telah diperluaskan ke seluruh dunia, namun golongan kurang upaya masih perlu menanggung perbelanjaan kesihatan sehingga lima kali lebih tinggi daripada purata orang biasa.
- Meskipun secara keseluruhannya berlaku penurunan dalam kadar kematian semasa melahirkan di kebanyakan negara sedang membangun, wanita di kawasan luar bandar masih mempunyai kemungkinan sehingga tiga kali lebih tinggi untuk mati semasa melahirkan berbanding wanita yang tinggal di bandar.
Maka, dapat dilihat masih banyak tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan jurang perbezaan sosial dan ekonomi di kalangan masyarakat dunia. Di negara kita Malaysia, juga tidak terkecuali dari perkara ini. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah;
- Di pihak kerajaan, penggubalan polisi harus dilakukan yang melibatkan lebih penumpuan kepada peningkatan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial.
- Bagi agensi swasta dan korporat, lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah.
- NGO dan agensi-agensi yang berkepentingan haruslah bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan peri penting untuk bersatu padu dalam negara yang berbilang bangsa.
Terakhir, kita sebagai sebahagian dari komuniti masyarakat juga mampu untuk menyumbang kepada usaha ini, yakni dengan meningkatkan hasil ekonomi diri dan keluarga serta menghapuskan sifat prejudis dan diskriminasi kepada orang lain.
Mudah-mudahan kita dapat terus melangkah untuk maju kedepan bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.
Baca Juga: SDG 5-Kesaksamaan Jantina
Oleh: Fathi Abd Rashid
Sumber:
1) El Efendi, Abdelwahab (2010) About Muhammad : The Other Western Perspective On The Prophet of Islam (Legacy Publishing Ltd) p. 21 & 58
2) https://www.un.org/sustainabledevelopment/inequality/
3) https://www.islamicity.org/2132/islam-and-egalitarianism/