SDG 1–Sifar Kemiskinan, Sejahtera Kemanusiaan

1.No Poverty

Sifar Kemiskinan, Sejahtera Kemanusiaan

“I STEAL, ONLY WHAT I CAN’T AFFORD! – THAT’S EVERYTHING!”

Begitulah petikan skrip dari filem popular Disney – Aladdin, yang telah mencecah kutipan 1 billion Dolar Amerika di seluruh dunia baru-baru ini.

Jika diterjemahkan, bunyinya begini – “Saya curi, apa yang saya tak mampu sahaja – itu segalanya!” teriak Aladdin kepada pengawal yang cuba menangkap dan memotong tangannya.

Ya, Aladdin, seorang remaja yatim piatu yang miskin tegar, tidak mampu untuk membeli walau sepotong roti dan terpaksa mempertaruhkan nyawanya untuk sesuap makanan demi kelangsungan hidupnya saban hari.

Itu tamsilan fantasi. Ini pula realiti. Faktanya:

Lebih 736 juta orang manusia, atau 10% populasi dunia, masih lagi hidup dalam keadaan miskin tegar dan meneruskan kelangsungan hidup dengan pendapatan kurang daripada RM 7.80 sehari – majoritinya (42%) tinggal di kawasan sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.

1.No Poverty SDG 1–Sifar Kemiskinan, Sejahtera Kemanusiaan

Secara global, 122 orang wanita berusia antara 25 ke 34 tahun hidup dalam keadaan miskin tegar bagi setiap 100 orang lelaki pada peringkat umur yang sama. Seorang daripada setiap 5 orang kanak-kanak pula tergolong sebagai miskin tegar (20%).

Kemiskinan boleh didefinisikan sebagai ketidakcukupan wang atau sumber yang mengakibatkan ketidakmampuan untuk seseorang manusia hidup dengan bermaruah dalam menyara kehidupan mereka sendiri.

Kadar kemiskinan yang tinggi biasanya didapati di negara-negara kecil yang sedang berdepan krisis atau konflik.

Jangan terlalu yakin! Hidup di negara seperti Malaysia dan mempunyai pekerjaan pun belum tentu menjamin kehidupan yang memuaskan.

8% pekerja dan keluarga mereka di seluruh dunia masih hidup dalam keadaan miskin tegar pada tahun 2018 (termasuk miskin bandar).

Sistem Maklumat Bibliografik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mendifinisikan keperluan asasi manusia sebagai “makanan yang mempunyai cukup khasiat untuk mencegah malnutrisi, tempat perlindungan, pendidikan awam, air bersih dan penjagaan kesihatan.”

Jika dikembangkan lagi, kemiskinan juga bolehlah kita gariskan sebagai ketidakmampuan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas manusia seperti makanan, pakaian dan tempat perlindungan. Kemiskinan merangkumi pelbagai dimensi, seperti eleman sosial, ekonomi dan politik.

Kesan daripada hidup dalam kemiskinan, manusia tidak lagi mampu untuk membeli makanan untuk makan setiap hari atau untuk dapat mempelbagaikan makanan mereka demi mencapai nutrisi yang seimbang. Kekurangan nutrisi telah menyebabkan kematian hampir 45% kanak-kanak di bawah usia 5 tahun di seluruh dunia. (UN) Sudah pastilah hal ini membimbangkan kerana merekalah generasi penerus kita.

No 1 No Poverty

Akibat kekurangan nutrisi, kesihatan anak-anak akan tergugat sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menghadiri persekolahan. Bagi yang dewasa pula, mereka tidak dapat bekerja, lalu pastinya memberi impak kepada mata pencarian mereka.

Fakir miskin juga majoritinya tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih. Kesannya, kesihatan mereka terjejas dan mudah mendapat jangkitan penyakit seperti wabak taun (kolera) dan sebagainya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, apabila sakit, golongan ini tidak berkemampuan pula untuk membiayai yuran kesihatan seperti khidmat doktor atau perkhidmatan kesihatan yang lain. Natijahnya, mereka lebih berkebarangkalian untuk meninggal dunia akibat daripada sesuatu penyakit yang sebenarnya dapat diubati.

Sekiranya anda pernah menonton sebuah filem Hollywood berjudul John Q, lakonan hebat pemenang Anugerah Oskar- Denzel Washington yang menceritakan kisah tragis seorang bapa yang sanggup merampas sebuah hospital hanya kerana terdesak kerana tidak mampu untuk membiayai pembedahan jantung anaknya, pasti anda dapat menjiwai desakan hidup yang menghantui seseorang insan sedang dibelenggu kemiskinan.

Selain itu, Ibu bapa yang miskin juga tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Pendidikan yang merupakan faktor penting dalam membentuk kemanusiaan yang sejahtera tidak lagi dapat diberikan.

Perkara ini mengakibatkan anak-anak mereka kemudiannya tidak mempunyai kelayakan untuk mendapat profesyen yang baik dan memberi kesan langsung kepada tahap kehidupan mereka di masa hadapan.

Golongan miskin juga rata-ratanya tidak mampu untuk memiliki rumah tempat berlindung. Dengan harga rumah yang semakin melambung naik, mereka tidak lagi mampu membelinya. Sedangkan kadar sewa rumah pun sudah begitu tinggi, apatah lagi jika mahu membeli rumah pada masa kini.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik; sabda Rasulullah SAW: “Hampir saja kefakiran membawa kepada kekufuran dan hampir sahaja sifat hasad mengalahkan ketetapan qadar (Allah).”

[Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Syu`ab al-Iman (juz 14, halaman 125) dan al-Quda`i dalam Musnadnya (juz 2, halaman 425)].

Setelah kita mengamati fakta-fakta yang dikongsikan tadi, maka dapatlah kita melihat dengan jelas betapa kemiskinan sememangnya dapat menyebabkan seseorang manusia melakukan perkara yang tidak wajar malahan bertentangan dengan nilai dan norma-norma kehidupan sejagat.

Sebagai seorang Muslim, keimanan kita juga cenderung untuk teruji dan tergugat di saat kita tidak dapat memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Mencuri, merompak, berjudi, menerima rasuah, melacurkan diri, membunuh, malahan banyak lagi jenayah dan maksiat berkemungkinan dilakukan apabila seseorang manusia berada dalam situasi terdesak untuk memenuhi keperluan diri mahupun insan yang mereka sayangi.

Tidak berapa lama dahulu, kita mendengar kisah bapa yang ditangkap mencuri tabung masjid kerana mahu membeli susu tepung untuk anak kecilnya.

1.No Poverty SDG 1–Sifar Kemiskinan, Sejahtera Kemanusiaan

Justeru itu, pendidikan adalah amat diperlukan dalam merealisasikan ‘SDG – 1: Sifar Kemiskinan’ kerana akses kepada pendidikan yang baik akan dapat menyumbang kepada pembasmian kemiskinan.

Populasi yang berpendidikan akan mampu membuat keputusan berasaskan maklumat yang tepat dalam menyumbang kepada hak asasi, ekonomi, pengurusan sumber dan membekalkan khidmat asas yang diperlukan kepada masyarakat manusia secara amnya.

Kata para intelek moden – “pendidikan itu ibarat gula, manakala ekonomi itu pula ibarat semut”.

Dengan pendidikan yang terbaik sahajalah, manusia akan dapat menjamin pengukuhan status sosial dan ekonomi diri, membina masyarakat mereka dan seterusnya membentuk kemanusiaan sejagat yang sejahtera, lalu pastinya tidak lagi dihambat bayang kemiskinan.

Kita seharusnya sedar dan menginsafi akan situasi yang sedang berlaku di sekeliling kita pada hari ini dengan mengambil sikap dan melakukan langkah-langkah yang sewajarnya. Antaranya:

  • Berikanlah pendidikan formal dan tidak formal yang sebaik mungkin kepada anak-anak kita dan didiklah mereka dengan penuh kasih sayang.
  • Hulurkanlah bantuan kepada fakir miskin dengan menyumbangkan zakat dan sedekah semampu mungkin
  • Makan dan minumlah sekadarnya kerana ramai lagi yang tidak bernasib baik seperti kita. Jika ada lebihan, sumbangkanlah kepada mereka yang memerlukan, Telah ada laman dan applikasi terkini diwujudkan seperti ohfreefood.com untuk memudahkan kita membuat sumbangan atas tujuan ini
  • Belilah pakaian sekadar yang perlu. Jika ada pakaian yang lama, sumbangkanlah kepada fakir miskin dan anak yatim atau hantarlah untuk dikitar semula
  • Berjimat cermat dan laburkanlah sumber kewangan dengan lebih hemat agar tidak terjerumus ke lembah kemiskinan

Hakikatnya, barang diingat, masih terlalu ramai manusia di luar sana yang nasibnya lebih buruk berbanding si Aladdin. Lebih menyedihkan, Aladdin hanyalah suatu manifestasi dalam fantasi animasi sedangkan di dunia yang sebenar pada setiap detik yang berlalu, sang fakir miskin terus meratapi episod derita mereka dalam kemelut kemiskinan yang bagai tidak berkesudahan.

Siapa lagi yang mahu membela nasib mereka, kalau bukan kita?

Baca Juga:SDG 2-Sifar Kebuluran Dan Kaitannya Dengan Filem Interstellar

 

Nukilan:

Fazrul Ekram Bin Mohd Yusof

 

Sumber: https://www.un.org/en/

 

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami