Pentingnya Menjaga Kesihatan Mental, Jangan Sampai Kemurungan. Mengimbau kenangan sewaktu kecil, antara kegemaran penulis adalah menonton filem-filem melayu lama bersama keluarga.
Salah satunya adalah filem arahan Allayarham Dato’ Jamil Sulong yang bertajuk ‘Batu Belah Batu Bertangkup’.
Antara dialog yang masih terngiang-ngiang di kepala penulis adalah yang diungkapkan oleh watak si ibu lakonan Allahyarhamah Seniwati Neng Yatimah yang berbunyi, “Batu belah batu bertangkup, tangkuplah aku, telanlah aku. Aku kempunan telur tembakul..”.
Penulis sewaktu itu sama sekali tidak dapat menerima kewajaran tindakan watak si ibu itu yang sanggup mengorbankan dirinya dan meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil terkontang-kanting.
Tetapi kini setelah menonton kembali filem tersebut, penulis berpendapat bahawa terdapat subjek lain yang boleh dinilai dari pelajaran dalam kisah ini iaitu kebarangkalian bahawa watak si ibu sebenarnya mengalami kemurungan (depression).
Ya, jika diketepikan unsur mistik atau animisme (misalnya mimpi si ibu diseru Penunggu dan kisah asal usul batu) dari cerita ini.
Isu sebenar yang dialami oleh watak si ibu adalah kemurungan akibat kesusahan membesarkan kedua anaknya seorang diri setelah kematian suaminya.
Mereka dalam keadaan serba kekurangan ditambah pula perangai anak bongsunya yang agak degil dan sering memberontak.
Perbuatan mengorbankan dirinya kepada batu itu bukanlah semata-mata kerana kempunan ikan tembakul, tetapi adalah kerana hilang pertimbangan akibat bebanan tekanan yang telah terkumpul sekian lama.
Walaupun ini hanyalah sekadar kisah dongeng, tetapi ia sedikit sebanyak menunjukkan bagaimana masalah kemurungan telah ada sejak dahulu lagi.
Cuma di kalangan masyarakat kita, ia menjadi suatu stigma yang biasanya dikaitkan dengan kerasukan, tersampuk dan lain-lain perkara mistik.
Masyarakat dunia mengabadikan tanggal hari ini, 10 Oktober sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia. Objektif keseluruhannya untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan mental di seluruh dunia dan menggerakkan usaha-usaha untuk menyokong kesihatan mental.
Ia adalah hari yang memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam isu-isu kesihatan mental untuk membincangkan halatuju kerja mereka, dan apa yang perlu lebih dilakukan untuk menjadikan penjagaan kesihatan mental menjadi suatu realiti bagi seluruh umat manusia.
Temanya pada tahun ini adalah “Fokus kepada pencegahan kes bunuh diri”, suatu yang sangat kebetulan kerana baru beberapa hari lepas penulis ada terbaca tentang operasi pegawai bomba yang menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang ingin terjun bangunan kerana merajuk dengan ibunya.
Benar, gangguan kesihatan mental tidak mengenal usia, bangsa, taraf hidup atau jenis pekerjaan. Ia bisa menyerang kepada sesiapa sahaja di kalangan masyarakat samada pekerja swasta atau kerajaan, ahli sukan, artis, golongan professional dan lain-lain lagi.
Secara umumnya, gangguan kesihatan mental merujuk kepada sekumpulan penyakit yang memberi kesan kepada cara pemikiran, persepsi, emosi dan tingkahlaku seseorang individu.
Jenis keadaannya boleh berbeza-beza tergantung kepada tahap keseriusannya, dari ringan, sederhana hingga ke tahap parah.
Gangguan kesihatan mental juga mempunyai berbagai-bagai jenis dan kategori antaranya seperti gangguan panik/kebimbangan (anxiety disorder), gangguan obsesif kompulsif (OCD), kemurungan, bipolar, gangguan tekanan pos-traumatik (PTSD), skizofrenia dan bermacam lagi.
Antara sebab atau perkara yang dikenalpasti menjadi pencetusnya adalah persekitaran, genetik/keturunan, perilaku harian dan faktor biologi.
Keadaan sosio-ekonomi masakini dan kecanggihan teknologi media massa malah sebenarnya memburukkan lagi keadaan.
Menurut Tengku Puteri Iman Afzan, penaung kepada Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), media sosial mampu menyebabkan seseorang menderita secara mental apabila tidak dimanfaatkan secara betul.
Ini kerana ia menggalakkan pengguna untuk mengeluarkan kata-kata tanpa kawalan dan berfikir panjang, yang mampu memberikan kesan kepada orang lain.
Persaingan dan kecenderungan untuk membandingkan pencapaian dan kejayaan dengan orang lain juga akhirnya mewujudkan rasa rendah dan benci kepada diri sendiri yang mampu menyebabkan hilangnya pertimbangan dalam membuat keputusan yang tepat.
Antara fakta global yang dikeluarkan oleh WHO yang perlu diambil serius adalah;
- Secara global, 1 dari 4 orang manusia mengalami gangguan kesihatan mental di salah satu titik hidup mereka
- Separuh dari gangguan kesihatan mental bermula sejak umur 14 tahun
- Kemurungan mencatatkan jumlah pesakit keempat tertinggi dikalangan penyakit global
Secara lokalnya pula, menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 & 2017 mencatatkan;
- 29% dari rakyat Malaysia mengalami kemurungan dan gangguan kebimbangan pada tahun 2017, berbanding Cuma 12% pada 2011
- Kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia menderita masalah kesihatan mental
- Berkisar tentang kes bunuh diri pula, 11.2% dari orang dewasa di Malaysia pernah terfikir untuk membunuh diri manakala 10.1% pernah mencuba untuk membunuh diri
- 2.1 juta wanita di negara ini mengalami simptom isu kesihatan mental, dengan hanya 57,570 orang sahaja yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dari tahun 2010 hingga 2017.
Atas dasar tersebut, masyarakat dunia mula memberikan lebih perhatian kepada isu-isu kesihatan mental. Ini diterjemahkan melalui program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ketiga iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Yang baik, yang memfokus kepada memastikan cara hidup yang sejahtera dan kehidupan yang sihat kepada semua peringkat umur.
Salah satu sasarannya adalah penjagaan kesihatan mental. Maka, oleh sebab itu, haruslah kita lebih cakna dan meningkatkan kesedaran diri, keluarga dan orang sekeliling kita tentang pentingnya untuk menangani isu kesihatan mental. Antara perkara yang boleh kita lakukan;
- Tingkatkan kepekaan kita kepada perubahan yang berlaku pada orang terdekat dengan kita. Banyakkan mendengar dan menyelami perasaan mereka. Elakkan dari menghukum seperti mengatakan mereka sudah jauh dari tuhan atau yang semacamnya. Jadilah sistem dokongan yang baik dengan menggalakkan mereka untuk menghargai dan mencintai diri sendiri.
- Sentiasa menemani mereka dan membuat aktiviti-aktiviti sihat bersama. Sekali-sekala keluarlah dari kota untuk menikmati alam seperti ke pantai dan berkhemah
- Galakkan mereka untuk mendapatkan khidmat kaunseling atau berjumpa dengan pakar psikiatri jika keadaannya lebih serius. Buang stigma yang mengatakan kemurungan atau tertekan itu adalah penyakit gila.
- Jika anda seorang pesakit, amalkan carahidup dan pemakanan yang sihat. Sentiasa berfikiran positif dan bergaul dengan lingkungan yang positif.
Setakat ini untuk kali ini. Tunggu di lain artikel…!
Baca Juga: 6 Manfaat Rumah Bersih Kepada Kesihatan Anda
Di Tulis Oleh:
Sumber rujukan:
Laman Facebook : Public Health Malaysia