Pemakaian Kanta Lekap Bukan Untuk Semua

kanta lekap - mampankini

Kanta Lekap Bukan Untuk Semua. Anda mempunyai masalah penglihatan? Rabun jauh, rabun dekat atau rabun silau? Bertenang! Jangan panik kerana semua permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya.

Masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau boleh diselesaikan dengan mendapatkan rawatan orthokeratologi, menjalani pembedahan refraktif, memakai cermin mata atau memakai kanta lekap yang juga dikenali sebagai ‘contact lens’ dalam kalangan masyarakat sekarang.

Sekarang, pemakaian kanta lekap tidak asing lagi dalam masyarakat kini kerana kanta lekap bukan sahaja dipakai bertujuan untuk mendapatkan penglihatan yang lebih jelas, bahkan digunakan sebagai alat kosmetik untuk menyerlahkan lagi kecantikan mata.

Anda pasti tertanya- tanya berkenaan tajuk yang dinyatakan diatas. Persoalan seperti “Siapakah yang tidak boleh memakai kanta lekap?” dan “Kenapa bukan semua orang boleh memakai kanta lekap?” pasti sedang aktif bermain didalam fikiran anda sekarang. Jadi, untuk menjawab persoalan-persoalan diatas, anda perlu mengetahui terlebih dahulu secara amnya siapakah yang tidak sesuai memakai kanta lekap.

Antaranya ialah individu yang mempunyai penyakit diabetis. Hal ini disebabkan oleh risiko lebih tinggi terhadap pesakit diabetis untuk mengalami hakisan kornea atau nama saintifiknya, ‘corneal erosion’ disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam salur darah.

Jadi, pesakit diabetis lebih berisiko mengalami komplikasi ini jika berlaku infeksi pada mata dan kadar untuk sembuh daripada komplikasi ini lebih rendah oleh pesakit diabetis berbanding individu yang sihat.

Jadi, jika pesakit diabetis masih berminat untuk memakai kanta lekap, doktor akan memeriksa HbA1c dan keadaan permukaan okular mata pesakit diabetis terlebih dahulu samaada boleh memakai kanta lekap atau tidak.

kanta lekap - mampankini

Apa itu HbA1c? HbA1c ialah unit ukuran untuk mengetahui jumlah gula dalam darah pesakit. Jika tahap HbA1C dan mata pesakit dalam keadaan elok untuk memakai kanta lekap, maka pesakit hendaklah memakai kanta lekap dengan cara yang betul dan selamat mengikut nasihat doktor agar tidak berlaku sebarang komplikasi pada mata.

Selain itu, individu yang mengalami alahan juga tidak disarankan untuk memakai kanta lekap secara amnya. Hal ini kerana, kebanyakan individu yang mengalami alahan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada mata seperti mata kemerahan, mata bengkak, mata gatal dan mata kering. Simptom ini menjadi lebih teruk jika memakai kanta lekap bagi segelintir individu.

Meskipun tidak disarankan bagi individu yang mengalami alahan untuk memakai kanta lekap, tetapi jika individu berkenaan melakukan langkah-langkah seperti ini boleh dipertimbangkan semula.

Antara langkahnya ialah membersihkan dan membasmi kuman pada kanta lekap secara lebih kerap, jangan menggosok mata, pakai kanta lekap yang baru setiap hari, pastikan muka, rambut dan tangan sentiasa dalam keadaan bersih, pastikan baju yang dipakai sentiasa dibasuh dengan pencuci pakaian hipoalergenik, sentiasa menutup tingkap dan pintu rumah atau kenderaan dan menggunakan spesifik penitis mata bagi alahan yang disyorkan oleh doktor.

kanta lekap - mampankini

Apa itu pencuci pakaian hipoalergenik? Secara umumnya, hipo bermaksud kurang daripada normal dan alergenik bermaksud bahan yang boleh menyebabkan tindak balas alergi.

Jadi, pencuci pakaian hipoalergenik adalah pencuci pakaian yang kurang menyebabkan tindakbalas alergi bila digunakan pada pakaian. Maka individu yang mengalami alahan perlu mengikuti langkah-langkah diatas agar dapat mengelakkan udara yang tercemar melekat pada kanta lekap yang akan memberi kesan buruk kepada mata seterusnya mengakibatkan alahan terhadap mata menjadi lebih teruk.

Seterusnya, individu yang tidak digalakkan memakai kanta lekap ialah individu yang mengalami masalah mata terlalu kering. Untuk pengetahuan anda, mata kering berlaku apabila kelenjar lakrimal dan kelenjar aksesori dalam mata tidak berfungsi dengan baik untuk melembapkan, melincirkan dan memelihara kesihatan okular mata. Jadi, mata kering yang tidak mendapat cecair lakrimal secukupnya akan mengakibatkan kanta lekap merengsakan lagi permukaan mata.

Jika individu yang mempunyai mata terlalu kering mahu memakai kanta lekap, maka individu berkenaan perlu memilih kanta lekap yang telap oksigen dan yang jenis lembut. Individu berkenaan juga tidak boleh memakai kanta lekap terlalu lama dan perlulah sentiasa melembapkan permukaan mata dengan penitis mata yang disyorkan oleh doktor.

kanta lekap - mampankini

Individu yang mengalami masalah mata yang terlalu kering juga perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor tentang kondisi mata, sebelum mula memakai kanta lekap.

Disamping itu, individu yang berada dikawasan yang terdedah dengan pencemaran udara seperti habuk dan bahan kimia juga merupaka individu yang tidak sesuai memakai kanta lekap.

Pencemaran udara seperti habuk dan bahan kimia akan masuk kedalam mata dan terperangkap seterusnya akan meningkatkan geseran antara permukaan mata dan kanta lekap yang akan mengakibatkan ketidakselesaan pada mata dan lebih teruk lagi akan merengsakan atau merosakkan mata.

Tambahan pula, jika berlaku percikan bahan kimia terhadap mata yang mengakibatkan kanta lekap koyak maka ianya lebih berbahaya kerana amat sukar untuk melepaskan kanta lekap daripada mata dan kemungkinan pendedahan bahan kimia pada mata akan meningkat. Oleh yang demikian, individu yang berada dikawasan tersebut tidak digalakkan untuk memakai kanta lekap.

Pemakaian kanta lekap juga tidak sesuai bagi Individu yang tidak menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling. Hal ini kerana, kebersihan diri dan kawasan sekeliling amat penting bagi individu yang ingin memakai kanta lekap agar kuman ataupun bakteria disebabkan oleh anggota badan yang kotor, pakaian yang kotor ataupun kawasan yang kotor tidak akan mudah dipindahkan ke bahagian mata.

Tambahan pula, penjagaan kanta lekap agar sentiasa berada dalam keadaan bersih amat dititikberatkan agar pemakai kanta lekap tidak mengalami infeksi atau komplikasi pada bahagian mata.

Kebersihan diri dan kawasan sekeliling bukan sahaja perlu diaplikasikan oleh pemakai kanta lekap sahaja, malah semestinya perlu dipraktikkan dalam kehidupan semua orang tidak mengira ingin memakai kanta lekap ataupun tidak. Jagalah kebersihan diri dan kawasan sekeliling untuk mengelakkan diri daripada terkena penyakit yang membawa mudarat terhadap diri.

Seterusnya, tidak disarankan bagi individu yang tidak mematuhi kaedah pengendalian dan penjagaan kanta lekap dengan betul dan selamat untuk memakai kanta lekap.

Mata merupakan organ yang berisiko tinggi untuk mendapat infeksi daripada patogen kerana mata terdedah secara langsung dengan persekitaran luar. Jadi, individu yang ingin memakai kanta lekap perlu mendisiplinkan diri untuk mematuhi setiap kaedah pengendalian dan penjagaan kanta lekap dengan cara yang betul dan selamat agar kanta lekap itu benar-benar selamat dan bersih untuk dipakai pada permukaan mata.

Antara kaedah pengendalian dan penjagaan kanta lekap adalah dengan memastikan tangan bersih dan kering sebelum memegang kanta lekap, mengikuti semua arahan yang disertakan bersama kanta lekap yang dibeli untuk mencucinya dengan berhati-hati, gunakan larutan pencuci yang berdaftar dan yang tidak mencapai tarikh luput lagi dan jangan campur jenis larutan pencuci ataupun menggunakan air biasa atau air suling yang dicipta sendiri untuk mencuci atau menyimpan kanta lekap.

Paling penting bagi individu berkenaan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar bahagian mata yang bertauliah untuk mengetahui cara pengendalian dan penjagaan kanta lekap dengan lebih jelas dan selamat.

Maka, persoalan-persoalan tadi telah terungkai melalui penerangan yang dinyatakan diatas. Jika anda tidak tergolong daripada golongan diatas tadi, maka secara amnya anda boleh dan sesuai memakai kanta lekap samaada anda mempunyai mata yang sihat dan normal ataupun anda mengalami masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat, rabun silau dan keratokonus.

Kerato bermaksud kornea dan konus bermaksud kon. Keratokonus adalah sejenis penyakit mata yang menyebabkan kawasan tengah kornea membonjol keluar dan menipis seterusnya menyebabkan bentuk kornea seolah-olah seperti kon. Anda juga perlu mendapatkan pemeriksaan mata terlebih dahulu sebelum memakainya dengan pakar mata atau optometrist yang bertauliah.

Anda juga perlu menitikberatkan tentang tahap kesihatan, keadaan mata, penjagaan mata dan kanta lekap dan juga kawasan yang selamat daripada pencemaran udara sebelum memakainya.

Jangan membeli kanta lekap dimana-mana kedai yang tidak berdaftar seperti membeli secara atas talian yang tidak diiktiraf ketulenan produk atau yang tidak berkualiti kerana menginginkan harga yang murah.

contact lens - mampankini

Banyak kes yang melibatkan pembelian kanta lekap yang amat murah dan tidak berkualiti, berakhir dengan mendapati bahawa warna daripada kanta lekap itu luntur dan ada juga kes yang berlaku infeksi pada mata pemakai yang tidak menitikberatkan keselamatan diri sebelum memakai kanta lekap yang tidak berkualiti itu.

Ingatlah, yang anda hanya mempunyai sepasang sahaja mata dan jangan disebabkan kanta lekap yang tidak berkualiti dan tidak selamat digunakan menyebabkan berlaku kerosakan terhadap mata. Jangan merisikokan mata anda yang amat bernilai dengan barang yang tidak berkualiti dan tidak selamat digunakan.

Akhir sekali, perlu ditegaskan disini supaya rujuklah pakar mata atau optometris yang arif dalam bidang mata untuk mendapatkan pemeriksaan mata dan nasihat sebelum memakai kanta lekap.

Jika mata anda masih jelas penglihatannya maka jagalah mata anda dengan sebaiknya kerana penglihatan yang jelas dan mata yang sihat tanpa penyakit adalah salah satu nikmat yang tidak dapat digantikan dengan wang ringgit semata-mata. Tetapi, jika anda mengalami masalah penglihatan, jangan sedih dan ambillah itu sebagai ujian dan pengalaman dalam mendepani kehidupan sekarang agar anda lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Dalam sebuah kota, sudah pastinya terdapat sebuah atau lebih kedai cermin mata yang bedaftar yang menyediakan khidmat pemeriksaan mata. Jadi, tidak boleh dijadikan alasan lagi untuk tidak membuat pemeriksaan mata sebelum memakai kanta lekap.

Sekali lagi perlu ditegaskan bahawa rujuklah pakar mata atau optometris yang bertauliah untuk mendapatkan pemeriksaan mata sebelum memakai sebarang jenis kanta lekap. Sayangilah mata anda!

 

Baca Juga: Kesibukan Kerja Merupakan Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Kesihatan

 

Ditulis oleh:  Tuan Nur Izzah binti Tuan Mohd Salman,

Pelajar daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,

University Sains Islam Malaysia.

Facebook:  https://www.facebook.com/tuan.nurizzah/

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami