Salam sejahtera. Kali ini kami hendak mengajak pembaca untuk mengenali apa itu hab makanan dan kepentingannya kepada sistem ekonomi tempatan.
Meskipun termanya berbunyi agak berat, tetapi ia sebenarnya adalah satu konsep yang mudah dan praktikal, namun tak dinafikan mempunyai banyak cabaran untuk dilaksanakan.
Istilah hab makanan ini mula dipopularkan pada tahun 2008, walaupun secara praktikalnya dikatakan telah bermula sejak tahun 1970an di Amerika Syarikat.
Negara ini yang berkeluasan 9.8 juta km persegi dengan populasi penduduk seramai 328 juta, pastinya memerlukan kawasan pertanian yang luas bagi menampung keperluan makanan rakyatnya.

Selain daripada syarikat-syarikat besar yang memonopoli perniagaan makanan, terdapat juga ramai petani dan penternak dengan ladang yang berskala kecil dan sederhana yang bergantung hidup kepada hasil ladang mereka.
Di sinilah hab makanan memainkan peranan dalam membantu memasarkan produk dari ladang-ladang tersebut kepada pengguna.
Menurut Jabatan Pertanian US (USDA), sebuah hab makanan ialah perniagaan atau organisasi yang menguruskan secara aktif pengumpulan (aggregation), pengagihan (distribution) dan pemasaran produk makanan dari sumber yang dikenalpasti.
Sumber tersebut haruslah dari pengeluar tempatan yang dengan cara ini menguatkan kemampuan mereka untuk memenuhi permintaan borong, runcit, dan dari institusi.
Memandangkan permintaan kepada produk berasaskan makanan tempatan terus meningkat, seringkali para petani yang bergerak bersendirian mengalami kesukaran untuk melakukan anjakan dari berniaga di tepi jalan atau di pasar kepada menjual dengan kuantiti yang besar di pasar raya, restoran dan agensi/institusi.
Hab makanan boleh dianggap sebagai orang tengah yang berfungsi untuk menghubungkan pengeluar (petani dan penternak) dengan institusi pembeli (restoran, hospital, sekolah, dll) dan pengguna (end user).
Mereka membantu petani mendapatkan akses ke pasaran yang lebih besar supaya petani/penternak dapat lebih fokus pada pertanian dan kurang kepada pemasaran & pengedaran. Antara ciri lain hab makanan adalah:
1) Pengeluar dianggap sebagai rakan niaga yang sangat bernilai berbanding pembekal atau orang tengah yang boleh ditukar ganti. Komited untuk membeli dari pengeluar tempatan berskala kecil hingga sederhana.
2) Bekerjasama rapat dengan pengeluar, terutamanya yang dari skala kecil, untuk memastikan mereka dapat memenuhi kehendak pembeli dengan memberikan bantuan teknikal atau mempertemukan dengan agensi yang dapat memberikan bantuan teknikal tersebut.
3) Menggunakan strategi pembezaan produk untuk memastikan pengeluar mendapat harga yang baik untuk produk mereka.
Contoh strategi pembezaan produk termasuk pemeliharaan identiti (mengetahui siapa yang menghasilkannya dan dari mana asalnya), penjenamaan kumpulan, ciri khas produk (seperti produk turun temurun atau varieti yang unik), dan pengeluaran dengan amalan lestari (seperti produk organik yang disahkan atau kurang penggunaan racun kimia).
4) Bertujuan untuk berdaya maju dari segi kewangan dan dalam masa yang sama mempunyai kesan positif kepada ekonomi, sosial, dan persekitaran dalam komuniti mereka, yang diterjemahkan dalam bentuk perkhidmatan komuniti dan alam sekitar.
Di Malaysia, peranan sebagai hab makanan lebih banyak dimainkan oleh agensi kerajaan seperti FAMA, Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Misalnya PPK Kuala Langat telah mewujudkan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang di Telok Panglima Garang bagi membantu memasarkan hasil dari petani kecil sekitar kawasan tersebut sejak tahun 2015.
Hasil tanaman seperti cili akan dikumpulkan, digred dan dihantar ke pasar raya besar, kilang sos, pasar borong dan kedai-kedai runcit. Ia ternyata sangat membantu meningkatkan pendapatan petani di sana sehingga 20-30 peratus.
Kini, dengan peningkatan permintaan akibat pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan di bandar dan luar bandar, semestinya perlu ada lebih banyak agensi swasta dan NGO yang berkecimpung dalam sektor hab makanan ini.
Di lain masa, kita akan melihat pula bagaimana entiti yang terlibat ini dapat mengekalkan kelangsungan mereka dalam melaksanakan peranan sebagai hab makanan. Sampai berjumpa lagi!
Rujukan:
1) https://www.purdue.edu/dffs/localfood/food-and-business/food-hubs/
2) https://sustainableamerica.org/blog/what-is-a-food-hub/
3)https://www.mynewshub.tv/terkini/pusat-pengumpulan-ppk-kuala-langat-bantu-tambah-pendapatan-petani/
4) https://en.wikipedia.org/wiki/Food_hubs