Mendepani Pendidikan Alaf Virtual

pendidikan negara

Saban tahun, kita dapat melihat perkembangan pendidikan di Malaysia berkembang pesat selaras dengan perkembangan zaman. Berasaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan, pelbagai inisiatif dan usaha dilakukan bermula dari pihak kerajaan sehinggalah ke peringkat akar umbi bagi menghasilkan sistem pendidikan berkualiti selari dengan arus perkembangan moden.

Melalui itu, setiap warganegara Malaysia berpeluang mendapat pendidikan yang terbaik bermula dari pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan menengah.

Namun, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sejak akhir tahun 2019, dunia digemparkan dengan penyebaran wabak Covid-19. Penyebaran wabak yang telah meragut 2.5 juta nyawa setakat 4 Mac 2021 itu mengubah pelbagai aspek kehidupan masyarakat dunia kini.

Malaysia juga tidak terkecuali terkesan akibat pandemik tersebut sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama terpaksa dilaksanakan pada Mac 2020 dan berlarutan sehingga kini.

Pelbagai sektor seperti ekonomi, pelancongan, perubatan dan sektor pendidikan di Malaysia terkesan akibat pandemik ini. Penutupan institusi pendidikan seperti universiti, kolej serta sekolah terpaksa dilaksanakan.

Para pelajar terpaksa akur untuk tidak mengikuti pembelajaran secara bersemuka bagi menghindarkan penyebaran Covid-19 sehinggalah pendidikan maya atau secara atas talian menjadi medan utama penyampaian ilmu di era pandemik ini.

Pembelajaran maya boleh didefinisikan sebagai satu sistem pembelajaran berasaskan laman web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Pendidikan maya dilihat sebagai satu inisiatif terbaik bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) meskipun dalam keaadaan terbatas pada era pandemik kini. Persoalannya, sejauh manakah persediaan Malaysia dalam mendepani pendidikan maya pada era ini?

Pertama, pentingnya untuk dilihat dari segi keperluan infrastruktur bagi menjamin keberkesanan pendidikan secara maya itu sendiri. Menurut Prof Madya Dr Mahizer Hamzah, Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (PTPM), perkembangan pembelajaran dalam talian di sekolah sudah bermula apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Sekolah Bestari yang memperkenalkan penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog dan sekarang Pelantar Pembelajaran Digital.

pendidikan negara

Sebelum ini, penggunaan pengantar-pengantar seperti itu hanyalah sebagai sokongan kepada pembelajaran konvensional sedia ada yang dijalankan dalam bilik darjah di sekolah. Oleh kerana itu, tiada peningkatan atau tambah baik yang dilakukan kerana melihat kepada kurangnya keperluan pembelajaran dalam talian ketika itu.

Justeru itu, para pendidik kini lebih memilih untuk menggunakan pengantar-pengantar internet yang lain seperti ‘Google Meet’, ‘Microsoft Teams’, ‘Zoom’, ‘ Google Classroom’ serta aplikasi lain yang sememangnya lebih praktikal.

Menurut CEO Google, Sundar Pichai, beliau mendapati terdapat pertambahan sekitar 3 juta pengguna baru setiap hari dan peningkatan penggunaan tiga puluh kali ganda sejak Januari 2020. Malah terdapat juga lebih dari seratus juta harian pengguna ‘Google Meet’.

Hal ini membuktikan bahawa kewujudan pengantar-pengantar internet itu sedikit sebanyak membantu keberkesanan penyampaian pendidikan di Malaysia pada era pandemik ini.

Justeru itu, pandemik ini mungkin boleh dijadikan satu iktibar agar Kementerian Pendidikan Malaysia terus menambah baik platform e-pembelajaran yang sedia ada sebelum ini serta mewujudkan lebih banyak platform yang lebih praktikal penggunaannya kepada para pelajar serta guru. Ini sebagai persediaan agar pembelajaran dapat diteruskan dengan lancar walaupun dalam keadaan genting seperti pandemik yang melanda negara kini.

Seterusnya, usaha mewujudkan platform yang terbaik untuk pembelajaran maya tidak akan mencapai objektifnya jika tidak diselarikan dengan capaian internet berkelajuan tinggi.

Menyelusuri era pemodenan kini, penggunaan internet sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat global malah pelbagai urusan kini dilaksanakan secara atas talian. Meskipun begitu, umum mengetahui bahawa tahap capaian internet di Malaysia belum lagi berada dalam keadaan yang memuaskan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Justeru, penggunaan platform-platform internet seperti  Google Meet dan Zoom pastinya tidak sesuai memandangkan platform-platform seperti itu memerlukan kepada capaian internet yang berkelajuan tinggi bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar.

Walaubagaimanapun, masih terdapat usaha lain yang sering digunakan oleh para pendidik seperti pembelajaran secara tidak segerak. Hal ini penting bagi memastikan pelajar-pelajar tidak terus ketinggalan dalam pembelajaran meskipun berada di kawasan-kawasan yang terhad capaian internetnya.

Misalnya, penggunaan medium seperti Whatsapp serta Facebook yang tidak memerlukan kehadiran pelajar dan guru pada masa yang sama sememangnya membantu kelancaran pendidikan maya.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2017, dari 24.6 juta pelayar internet di Malaysia, 97.3 peratus adalah pengguna Facebook, Instagram pula 57 peratus dan YouTube (48.3 peratus), manakala aplikasi WhatsApp adalah 98 peratus. Justeru itu, medium-medium seperti Whatsapp yang merupakan aplikasi utama digunakan oleh mayarakat Malaysia adalah amat sesuai digunakan oleh para pendidik untuk berkongsi video-video atau nota-nota pembelajaran kepada para pelajar.

Meskipun begitu, usaha untuk menaik taraf capaian internet di kawasan luar bandar serta pedalaman di Malaysia sememangnya penting untuk diteruskan sebagai persediaan mendepani cabaran-cabaran global pada masa akan datang.

Di samping itu, kesediaan para guru serta pelajar dalam mendepani pendidikan maya juga perlu dilihat sebagai satu aspek yang penting. Kita sedia maklum bahawa para guru di Malaysia sememangnya berkebolehan dalam mengendalikan sesi pembelajaran secara maya. Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini telah menjalankan pelbagai kursus bagi menyediakan guru dengan kemahiran mengendalikan platform digital.

Terdapat juga para guru yang mampu menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang lebih konduksif penggunaannya semasa sesi pembelajaran maya. Pelbagai idea telah disumbangkan oleh para guru tersebut bagi menambah baik sistem pendidikan maya di Malaysia. Hal ini dapat dibuktikan apabila wujudnya Kumpulan Minat Khusus yang diwujudkan oleh guru yang pakar bagi membantu rakan guru yang lain.

Antaranya seperti CikgooTube, kumpulan Telegram Google Classroom Malaysia dan Facebook Guru Perpustakaan dan Media. Usaha-usaha seperti ini sedikit sebanyak membantu dari segi penambahbaikan pembelajaran maya ketika ini. Tidak dinafikan juga, masih ada segelintir guru terutamanya guru veteran yang masih memerlukan bimbingan. Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan para guru yang berkebolehan mengendalikan kaedah pendidikan yang pelbagai dan bukan sahaja memfokuskan kepada pendidikan konvesional di dalam kelas semata-mata.

Dari segi aspek kesediaan para pelajar pula, rata-rata pelajar dilihat menerima baik pembelajaran maya dari semasa ke semasa. Tidak dinafikan penglibatan ibu bapa semestinya memainkan peranan yang besar dalam memastikan kelancaran sesi pembelajaran anak-anak mereka. Permasalahan utama yang sering menjadi isu ialah penyediaan peranti seperti laptop, tablet dan sebagainya.

Hal ini kerana tidak semua ibu bapa mampu menyediakan keperluan peranti kepada anak-anak terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah seperti B40. Anak-anak dilihat perlu berkongsi peranti-peranti sedia ada bagi mengikuti pembelajaran. Untungnya di Malaysia, terdapat individu-individu prihatin yang melakukan sumbangan secara peribadi kepada para pelajar berkeperluan bagi mengikuti pembelajaran maya.

Walaupun sumbangan tidak dilakukan secara menyeluruh , namun sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban segelintir keluarga yang berkeperluan.

Pada masa akan datang, pihak kerajaan mungkin boleh melakukan inisiatif bagi menyediakan sekurang-kurangnya satu peranti bagi setiap keluarga yang kurang berkemampuan di Malaysia. Meskipun begitu, para pelajar tetap dilihat bersemangat berusaha mengikuti pembelajaran maya.

Malah, sering kali dipaparkan di dada-dada akhbar kini pelbagai usaha dilakukan oleh para pelajar bagi mencari capaian internet yang terbaik agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Situasi ini seharusnya dilihat sebagai perkembangan yang positif terhadap penerimaan pendidikan maya oleh para pelajar itu sendiri.

Malah situasi seperti ini seharusnya dijadikan sebagai satu batu loncatan agar pihak kerajaan terus berusaha menyediakan keperluan infrastruktur yang terbaik bagi menjamin keselesaan para pelajar ketika mendepani pembelajaran maya.

Ringkasnya, persediaan Malaysia dalam mendepani pembelajaran maya masih berada dalam kategori yang kurang memuaskan. Pelbagai usaha dan kerja keras perlu dilakukan untuk terus menambah baik sistem pembelajaran maya di Malaysia. Mungkin pada masa akan datang dapat disediakan satu garis panduan yang lengkap berkaitan pendidikan maya di Malaysia.

Hal ini penting bagi mengelakkan para guru tergapai-gapai seperti ketika awal perlaksanaan pendidikan secara maya tempoh hari. Ini juga bagi memastikan tidak banyak masa dibazirkan ketika tempoh persediaan sekiranya perkara seperti ini berulang lagi pada masa akan datang. Satu dasar yang lengkap berkaitan pendidikan maya di Malaysia perlu dilaksanakan agar keseragaman dan kelancaran sektor pendidikan di Malaysia lebih terjamin.

Hantar Artikel
images: pixabay.com

Sektor pendidikan adalah sektor yang penting sebagai asas melahirkan masyarakat yang berilmu dan berwawasan. Melihat kepada kepentingan itu, semestinya tidak wajar untuk mengabaikan sektor pendidikan meskipun pandemik melanda negara. Pelbagai perkara perlu dirangka bermula sekarang bagi menyediakan pendidikan maya yang berkualiti bermula daripada persediaan infrastruktur, kesediaan para guru serta pelajar hingga kepada sistem peperiksaan agar tiada penangguhan tarikh perlu dilakukan.

Penangguhan beberapa beberapa peperiksaan penting di Malaysia seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedikit sebanyak mengganggu fokus dan kesihatan mental para pelajar. Oleh itu, jika satu dasar pendidikan maya yang menyeluruh dapat diwujudkan, isu-isu seperti penangguhan peperiksaan mungkin dapat dibendung.

Kesimpulannya, pendidikan di Malaysia pada era pandemik ini masih lagi berada dalam keadaan yang stabil hasil pelbagai tindakan pantas yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta usaha para guru. Meskipun begitu, pelbagai penambahbaikkan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi mendepani cabaran-cabaran mendatang.

Baca Juga: Pemakaian Kanta Lekap Bukan Untuk Semua

 

Oleh ; Nur Aznisya Insyirah Bt Azam

Pelajar Tahun 2,

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,

Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami