Krisis Iklim: Hutan Amazon Pun Boleh Menjadi Savana

hutan amazom

Amazon, nama yang gah di dunia adalah nama sebuah syarikat e-perdagangan unggul yang berasal dari Amerika Syarikat, Amazon.com dan satu lagi adalah nama hutan hujan terbesar di dunia yang berkeluasan 5.5 juta km² iaitu Hutan Amazon yang berada di Brazil, Ecuador, Colombia, Chile dan negara-negara lain.

Satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications mendapati bahawa hutan hujan Amazon boleh bertukar dari hutan hujan ke savana akibat krisis iklim.

Apa itu savana? Savana ialah padang rumput tropika yang dikelilingi oleh semak-samun dan pokok-pokok seperti palem dan akasia yang berjarak antara satu sama lain sehingga tidak meneduhkan permukaan bumi.

Sistem biotik ini biasanya terbentuk di antara daerah tropika dan subtropika di mana kurangnya tadahan hujan sehingga menghasilkan iklim yang tidak terlalu kering untuk menjadi gurun pasir tetapi tidak cukup basah untuk menjadi hutan.

Kajian tersebut menunjukkan bahawa, penebangan hutan dan ditambah dengan kebakaran hutan mampu mencetuskan perubahan iklim dan boleh mengubah status hutan hujan tersebut yang disebut antara sumber utama oksigen dunia.

Apa itu hutan hujan? Ia adalah hutan yang banyak menerima hujan, selalunya antara 1750-2000 mm setahun. Hutan ini adalah rumah kepada banyak tumbuhan dan haiwan.

Sebanyak 40% hingga 75% spesies di habitat dunia adalah spesies asal hutan hujan. Dianggarkan terdapat berjuta-juta spesies tumbuhan, serangga, dan mikroorganisma yang masih belum dijumpai.

hutan amazom

Hutan hujan tropika disebut sebagai “permata bumi”, dan “farmasi terbesar dunia”, kerana lebih dari satu perempat daripada ubat-ubatan semulajadi telah ditemui di sana. Hutan hujan juga bertanggungjawab mengitar 28% oksigen dunia yang diproses melalui fotosintesis daripada karbon dioksida dan menyimpannya sebagai karbon.

Para penyelidik berkata, hutan hujan sangat sensitif terhadap perubahan hujan. Sekiranya mereka mengalami kekeringan dan kebakaran yang berpanjangan seperti yang baru-baru ini disaksikan di Amazon, mereka mungkin kehilangan lebih banyak pokok dan boleh menjadi seperti savana.

Saintis mengetahui bahawa ini mungkin boleh berlaku, dan perubahan seperti itu sudah bermula beberapa dekad yang lalu. Kajian baru yang diketuai oleh Pusat Ketahanan Stockholm menunjukkan bahawa perubahan itu semakin jauh dari yang diharapkan.

hutan amazom

“Keadaan kering menjadikan hutan lebih sukar untuk dipulihkan dan boleh meningkatkan keadaan ekosistem yang mudah terbakar,” kata Arie Staal, pengarang utama kajian itu.

Sekiranya hutan hujan berubah, banyak spesies tumbuhan dan haiwan di sini boleh pupus. Tahun ini sahaja, Amazon telah mengalami peningkatan titik panas api sebanyak 60% berbanding tahun 2019. Kajian sekarang memberi amaran bahawa jika kebakaran seperti itu berterusan, hutan hujan boleh berubah secara kekal.

Itu apa yang berlaku di Amazon, bagaimana pula dengan negara kita? Sudah tidak boleh dinafikan lagi bahawa banyak hutan di negara kita pun banyak yang sudah digondolkan atas faktor pembangunan dan punca ekonomi menurut kata mereka.

hutan amazom

Apa sudah jadi? Apa tindakan kita? Mari kita sedarkan diri sendiri dan orang yang rapat dengan kita akan pentingnya menjaga alam sekitar, sungai, tumbuhan, supaya ekosistem yang ada ini boleh dikekalkan untuk kepentingan bersama.

Baca Juga: Pulau Ini Mempelopori Model Baru Pelancongan Lestari

 

Sumber: The Guardian

 

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami