Malaysia sudah memasuki fasa ke-4 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan berakhir pada 12 Mei 2020, dan memperlihatkan trend penurunan kes dan jumlah sembuh yang tinggi.
Tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan kita sudah menang dan bebas dari Covid-19. Namun pada 1hb Mei 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan kelonggaran PKP Bersyarat akan dimulakan seawal 4hb Mei 2020 bagi mengelak ekonomi negara dan rakyat terus menjunam jatuh.
Semenjak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan menghampiri RM100 billion. Sebahagian besar sektor ekonomi diberi keizinan untuk beroperasi dengan prosedur dan langkah-langkah ketat yang perlu diambil.
Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Begitulah perumpamaan yang paling sesuai untuk mengambarkan situasi yang berlaku di negara kita sekarang.
Kita Tidak Berada Di Dalam Satu Kapal Yang Sama
Orang kebanyakan berkata kita semua berada dalam satu kapal yang sama dan sedang berlayar di dalam ribut yang amat dasyat, tetapi sebenarnya tidak.
Kita sebenarnya dilanda ribut yang sama tetapi kita berada di dalam bot yang berbeza. Anda mungkin berada di dalam sampan, saya mungkin berada di kapal persendirian yang mewah bersama keluarga atau mungkin ada yang hanya pakai jaket keselamatan sahaja dan mungkin ada yang berseorangan tenggelam timbul dilambung ombak besar sambil mengharapkan bantuan.
Bagi sesetengah orang, PKP mungkin tidak menjadi masalah. Ia menjadi detik terbaik untuk muhasabah diri, mengeratkan perhubungan dengan Maha Pencipta, bermain-main bersama ahli keluarga sambil makan dan minum ataupun masak apapun tak jadi di rumah. Namun ada yang merasa tertekan dan menghadapi krisis kewangan dan kekeluargaan yang berat ketika ini.
Bagi mereka yang hidup berseorangan mereka pasti mengalami kesunyian hidup yang berpanjangan. Terpisah dari keluarga dan tidak boleh berjumpa kawan-kawan diluar sana akan menyebabkan kemurungan.
Dalam masa yang sama juga ada yang bergaji rm900 sebulan telah dibuang kerja disebabkan PKP. Sementara ada yang berganda gajinya dari mereka untuk menyara seluruh isi rumah dengan senang hati tanpa bimbang.
Ada orang merasa risau tidak dapat pergi ke Jakel membeli baju raya seperti biasa untuk menyambut Aidilfitri tahun ini. Ada pula yang risau tidak dapat menyediakan juadah berbuka puasa hari ini.
Ada juga yang tak sabar nak keluar bekerja sebab poket dah kosong sebab gaji tak masuk. Ada pula yang lain dengan simpanan beribu ringgit di dalam akaun bank rasa hendak belasah dan berusaha bersungguh-sungguh memaki-maki saja mereka yang melanggar arahan PKP ini.
Ada juga ibubapa yang dapat menghabiskan masa dengan anak-anak untuk selesaikan kerja-kerja sekolah mereka di rumah dan membantu pembelajaran atas talian.
Ada yang dah merasa peritnya dijangkiti virus ini hingga hampir mati, ada juga sudah kehilangan mereka yang tersayang. Dan ada yang tidak pasti sama ada ahli keluarga mereka mampu hadapi penyakit ini.
Ada yang terus menerus berdoa kepada Allah S.W.T dan mengharapkan keajaiban akan berlaku pada tahun 2020 ini. Namun terdapat juga yang beranggapan ini baru permulaan dan yang paling teruk masih belum tiba lagi.
Dan inilah hakikatnya, kita tidak berada di dalam bot yang sama. Kita melalui satu masa dimana persepsi dan keperluan kita berbeza sama sekali.
Setiap dari kita akan keluar dari ribut ini dengan cara tersendiri. Amat penting untuk melihat lebih mendalam dari sekadar melihat sepintas lalu. Bukan sekadar melihat saja tetapi benar-benar memperhatikannya.
Kita semua berada di dalam bot yang berbeza dalam menghadapi ribut ini dengan melalui pengalaman yang berbeza-beza.
Kesimpulannya:
Penulis sarankan kepada semua pembaca untuk melihat melalui mata burung. Lihat dari pelbagai sudut dan menyeluruh.
Akhir kalam mari kita hayati petikan Ayat Al-Quran ini Surah Adh-Dhariyat(51), Ayat ke-8 hingga 11.
إِنَّكُمْ لَفِي قَوْلٍ مُّخْتَلِفٍ , يُؤْفَكُ عَنْهُ مَنْ أُفِكَ , قُتِلَ الْخَرَّاصُونَ , الَّذِينَ هُمْ فِي غَمْرَةٍ سَاهُونَ
Allah berfirman, maksudnya :-
• Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berbeza pendapat,
• dipalingkan daripadanya orang yang dipalingkan,
• Terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta,
• (yaitu) orang-orang yang terbenam dalam kebodohan yang lalai,
Sesungguhnya saya, kamu dan semua sedang dalam perbezaan pendapat ketika ini, tetapi janganlah kita terus terbenam dengan kebodohan yang melalaikan ini dan akhirnya merugikan kita semua.
Renung-renungkan semoga mendapat input yang baik wahai pembaca budiman. Jika tidak bersetuju sila belajar untuk menghormati, sia-sia sahaja menjadi keyboard warrior dan mengeruhkan keadaan.
#Kitajagadirikitasendiri #kitajagakita #Malaysiabebascovid19 #kitamestimenang
Penulis
Ahmad Suhaimi.
Sumber & Rujukan
1. https://m.facebook.com/
2. Al-Quran Terjemahan
3. Astro Awani