Kesibukan Kerja Merupakan Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Kesihatan

Kesibukan Kerja Merupakan Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Kesihatan

Dalam era globalisasi kini, bilangan individu yang mengalami masalah kesihatan di Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari. Kebanyakan masalah kesihatan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ialah penyakit kardiovaskular, hipertensi (darah tinggi), diabetes mellitus (kencing manis), penyakit sekatan pernafasan (COPD), batu karang, obesiti dan sebagainya.

Pesakit-pesakit yang menghidap penyakit sebegini bukan sahaja terdiri golongan warga emas sahaja malah turut terdiri golongan dewasa dan remaja. Tidak hairan lagi, antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah kesihatan ini adalah kesibukan di tempat kerja.

Selari dengan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara, kebanyakan rakyat di negara ini terdiri daripada golongan yang berkerjaya. Hal ini sudah pastinya menjadikan mereka meluangkan lebih banyak masa di pejabat kerana timbunan tugasan yang perlu diselesaikan.

Tambahan lagi, bagi individu yang terlibat dalam bidang perniagaan pula pastinya memberikan komitmen yang tinggi terhadap perniagaan mereka demi memastikan ia dapat berkembang maju. Jika difikir secara logik, seorang pekerja yang bekerja di pejabat kebanyakannya mula bekerja dari jam 8.00 pagi sehingg 5.00 petang.

Seusai itu mereka harus menghadap kesesakan lalu lintas dan sebagainya sebelum sampai ke rumah. Sungguh, individu di zaman kini tidak lagi mempunyai masa yang cukup untuk memikirkan tentang kesihatan fizikal dan mental mereka.

Faktor kesibukan tidak sepatutnya menjadi sebab utama yang menyumbang kepada masalah kesihatan jika setiap individu atau pekerja mempunyai teknik pengurusan diri yang betul dan bijak dalam mengatur aktiviti seharian.

Oleh hal yang demikian, setiap individu seharusnya mengatur aktiviti seharian yang perlu dilakukan bermula dari pagi sehingga malam. Malah, aktiviti-aktiviti yang dirancang pada setiap hari perlulah seimbang dari segi kerja dan kesihatan.

Antara sebab mengapa kesibukan menjadi faktor kepada masalah kesihatan tubuh badan ialah kerana kegagalan untuk meluangkan masa untuk bersenam. Kaji selidik yang dilakukan di seluruh dunia mendapati bahawa Malaysia merupakan antara negara yang kurang aktif dari segi fizikal dengan lebih 60% daripada golongan dewasa merasa selesa dengan gaya hidup yang terikat dengan tugasan kerja di pejabat.

Selain itu, 54% daripada rakyat Malaysia bersetuju bahawa amalan bersenam adalah suatu perkara yang membebankan dan menyusahkan, manakala 78% bersetuju bahawa rutin senaman mengambil masa yang lama.

Bersenam merupakan antara elemen penting untuk mengelakkan diri daripada penyakit. Individu seharusnya meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk senaman berintensiti sederhana seperti berbasikal dan berjalan pantas, selama 5 hari seminggu. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bersenam dapat membantu mengawal tekanan darah, mengawal kandungan glukosa dalam darah, melambatkan osteoporosis dan menyingkirkan bahan toksik dari badan melalui peluh.

Apa Aktiviti Aerobik Sederhana Pilihan Anda?

Maka, tidak hairanlah individu yang sentiasa bersenam mempunyai tubuh badan yang sihat, minda yang fokus, stamina yang cukup, lebih produktif dan tidak berisiko untuk mendapat masalah kesihatan. Bagi individu yang sememangnya tidak mempunyai masa untuk bersenam, mereka seharusnya mencari alternatif lain bagi memastikan sentiasa aktif seperti mengurangkan penggunaan lif dengan menaiki tangga, melakukan regangan, berjalan kaki apabila ingin ke suatu tempat yang dekat dan sebagainya.

Di samping itu, tidur yang tidak berkualiti dan tidak mencukupi juga merupakan sebab  mengapa golongan yang sibuk bekerja mengalami masalah kesihatan. Inilah realiti yang perlu diakui dan diterima. Ini kerana golongan pekerja perlu menyiapkan tugasan-tugasan di tempat kerja demi memastikan prestasi mereka mendapat kepuasan daripada pihak majikan.

Mereka sanggup mengenepikan hal-hal lain temasuklah kesihatan diri agar dapat lebih fokus terhadap kerja. Ada yang perlu berjaga pada setiap malam, ada yang mengambil kafein untuk menghilangkan mengantuk, dan malahan ada juga yang menjadikan telefon pintar dan televisyen alat untuk memastikan mereka tidak mengantuk dan dapat bekerja pada larut malam.

Amalan-amalan sebegini ternyata membawa membawa kesan yang negatif kepada kesihatan individu. Hasil  dapatan Kajian Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia yang dilakukan oleh AIA Vitality pada tahun 2019 mendapati bahawa sebanyak 51% peratus dari golongan pekerja di Malaysia tidak mendapat tidur yang cukup.

Tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan seseorang individu itu mengalami masalah kesihatan, sukar untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara, menyukarkan proses pembelajaran dan mempercepatkan proses penuaan.

Bukan itu sahaja, tidur yang tidak cukup juga menyebabkan ketidakstabilan hormon berlaku seperti pengeluaran hormon tiroid yang berlebihan secara tidak terkawal yang boleh menyebabkan hipertiroidisme atau hipotiroidisme iaitu keadaan di mana kalenjar tiroid menghasilkan sedikit tiroid hormon.

Kedua-dua keadaan ini hakikatnya menyebabkan individu itu mengalami keletihan dan kelesuan. Oleh sebab itu, setiap individu dewasa haruslah mendapatkan waktu tidur yang mencukupi iaitu secara puratanya  enam hingga tujuh jam sehari seperti yang disarankan oleh Dr David Samson, penolong Profesor Antropologi Biologi, Universiti Toronto Mississauga.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tidur yang cukup dan berkualiti membawa kesan positif ke atas setiap individu seperti dapat menguatkan ingatan dan mengurangkan tekanan dan risiko kemurungan.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Dr. Spiegel pada tahun 2002, beliau mendapati bahawa seseorang yang mempunyai tidur yang cukup iaitu sebanyak 8 jam sehari mempunyai tahap antibodi dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang hanya tidur sebanyak 4 jam sehari.

Oleh itu, amatlah penting ke atas setiap individu untuk mendapatkan tidur yang cukup pada waktu malam seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Qashash ayat 73 iaitu “Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepadaNya”.

Seterusnya, amalan pemakanan yang tidak sihat juga antara sebab mengapa kebanyakan individu yang bekerja mengalami masalah kesihatan.

Kesibukan yang melampau di tempat kerja menyebabkan seseorang individu itu tidak cakna tentang pemakanan mereka. Mereka lebih cenderung untuk memilih makanan segera dan makanan ringan yang mudah didapati dan tidak mengambil masa yang lama untuk dihidangkan seperti mi segera, makanan dalam tin, makanan yang mengandungi pengawet dan air bikarbonat.

Hal ini dapat dibuktikan melalui jumlah jualan produk makanan ringan di Malaysia iaitu sebanyak RM1.28 bilion pada tahun 2018 dan angka ini dijangka akan terus meningkat pada tahun berikutnya. Tambahan lagi, pembukaan cawangan premis-premis makanan segera di Malaysia juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Hal ini sudah tentunya membawa keuntungan yang sangat lumayan kepada perniagaan seperti ini disebabkan sambutan dan permintaan yang tinggi. Setiap individu sewajarnya mempraktikkan amalan pemakanan yang sihat dengan memastikan setiap makanan yang diambil adalah berkhasiat.Makanan yang berkhasiat ialah makanan yang mengandungi kandungan nutrisi dan gizi yang cukup untuk keperluan badan.

Contohnya, sayur-sayuran, buah-buahan segar ,kekacang, sumber protein dan sebagainya. Setiap individu seharusnya mempraktikkan amalan sihat ini dengan cara menggantikan snek ringan dengan buah-buahan seperti epal yang ternyata kaya dengan anti-oksida, buah sitrus yang mengandungi vitamin C yang sangat baik untuk sistem imunisasi dan bermacam lagi jenis buah-buahan.

Kesibukan Kerja Merupakan Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Kesihatan

Mereka juga sewajarnya mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam, gula dan serbuk perasa yang tinggi. Hal ini kerana jika bahan-bahan tersebut diambil dalam kuantiti yang tidak dikawal, akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit seperti hipertensi (darah tinggi), diabetis mellitus (kencing manis) dan sebagainya.

Daripada riwayat Ad-Dailami yang berbunyi, “Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala perubatan”. Riwayat ini menjelaskan bahawa kebanyakan penyakit berpunca dari makanan yang diambil. Oleh itu, setiap individu haruslah mencegah penyakit dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan menghadkan diri daripada mengambil makanan segera.

Seterusnya, waktu kerja yang berlebihan dan tekanan melampau di tempat kerja juga adalah antara punca kepada masalah kesihatan tubuh badan dan mental.

Menurut Datuk Azih Muda yang merupakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), sebanyak 20,000 penjawat awam bersara awal setahun kerana tekanan di tempat kerja. Justeru, mengawal tekanan di tempat kerja adalah penting bagi memastikan kesihatan mental.

Hal ini  kerana ia mempengaruhi emosi, minda dan aktiviti seharian. Setiap individu haruslah sentiasa prihatin dan peka terhadap masalah kesihatan mental dengan sentiasa mengurus masa dengan baik agar tugasan-tugasan di tempat kerja tidak tertangguh. Sentiasalah memberi ganjaran kepada diri sendiri apabila selesai menyelesaikan tugasan dan sentiasa berkongsi masalah dengan rakan sekerja ataupun rakan yang dipercayai. Selain itu, pihak majikan juga memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan mental setiap pekerja mereka terjamin.

Majikan haruslah memberikan tugasan yang sesuai dengan waktu bekerja, tidak memberikan tekanan berlebihan kepada pekerja dengan mengugut untuk memecat mereka, dan juga selalu memberikan sokongan moral kepada para pekerja.

Kesimpulannya, mengapa kesibukan menjadi faktor yang menjejaskan kesihatan tubuh badan dan mental adalah disebabkan kurangnya masa untuk bersenam, tidur yang tak cukup dan tidak berkualiti, amalan pemakanan yang tidak berkhasiat dan juga tekanan yang melampau di tempat bekerja.

Oleh disebabkan itu, setiap individu sewajarnya mengelakkan perkara-perkara tersebut agar fizikal dan mental sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan stabil. Sesungguhnya kesihatan merupakan sesuatu yang berharga dan tidak ternilai. Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang”.

Baca Juga: Apa Aktiviti Aerobik Sederhana Pilihan Anda?

 

Ditulis oleh : Nur Izzati Binti Mohd Jurij, pelajar tahun 2 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM.

Twitter: https://twitter.com/izzatikriuk

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami