Ketika ini, kita sedang terumbang-ambing dalam arus ketidakstabilan lantaran dilanggar gelombang pandemik global yang belum pernah disaksikan sepanjang lembaran sejarah sejak berkurun lama.
Semasa dititipkan oleh penulis dalam sebuah artikel di laman Mampankini lebih 2 bulan lalu, namanya masih lagi disebut sebagai virus novel 2019-nCOV dan hanya berada di tahap epidemik.
Saat ini, bahana yang telah diwartakan sebagai pandemik Covid-19 tersebut, jelasnya telahpun dan akan terus memberi impak besar kepada hampir setiap manusia dari segenap segi; sosiopolitik, budaya apatah lagi ekonomi.
Di Malaysia, kita amat bersyukur kerana mempunyai sebuah kerajaan yang begitu prihatin dan cakna dalam menangani krisis yang mengancam umat manusia sejagat ini.
Pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri demi menjamin kesejahteraan rakyat jelata, terutamanya untuk anggota masyarakat dalam kategori golongan berpendapatan rendah atau yang juga disebut sebagai ‘B40’.
Berdasarkan statistik oleh Jabatan Perangkaan Negara pada 2016, golongan B40 atau 40 peratus rakyat dengan pendapatan terendah ini hanya menyumbang kepada 17% sahaja daripada jumlah pendapatan negara.
Perkara ini membawa kita kepada isu yang ingin diutarakan oleh penulis pada kali ini, sebagai kesinambungan buat artikel berjudul ‘Sifar Kemiskinan, Sejahtera Kemanusiaan’ yang juga disumbangkan oleh penulis.
Sedarkah kita bahawa golongan B40 ini bukan hanya terhad kepada golongan miskin tegar yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 980.00 sebulan sahaja?
Siapakah mereka yang dimaksudkan?
Pembangunan bandar telah memacu pertumbuhan ekonomi yang menarik ramai pelabur asing ke negara ini. Namun, di sebalik kepesatan kemajuan proses perbandaran, wujud kelompok yang menerima implikasinya dan terpaksa bergelut dalam kesempitan hidup.
Mereka yang dimaksudkan adalah golongan miskin bandar yang majoritinya menetap di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara, terutamanya di sekitar Lembah Klang.
PPR adalah sebuah program kerajaan bagi penempatan semula setinggan demi memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dengan jumlah pendapatan isi rumah kurang daripada RM 3,000 sebulan.
Ya, ini secara ringkasnya bermakna, jika seseorang itu berpendapatan RM 2,999 sebulan dan pasangannya tidak bekerja, dia dikategorikan sebagai miskin bandar! Malangnya, agak ramai yang masih belum menyedari akan realiti ini.
Penulis masih terngiang-ngiang suatu detik ketika menjadi pelatih pengurusan di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Tutur seorang rakan sekerja penuh yakin, “eh, gaji aku dekat RM 2k lah. Kaya tau!”. Dia ada seorang anak dan pasangannya pula tidak bekerja. Penulis berharap yang dia cuma bergurau.
Senario kehidupan penduduk di PPR sememangnya sukar dan ada yang hidupnya boleh diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tambahan pula, majoriti mereka mempunyai bilangan anak yang agak ramai.
Bayangkan situasi ini – seorang ayah berpendapatan RM 1,500 sebulan yang tinggal di ibu kota dengan isteri tidak bekerja. Sewa rumah dan bil-bil utiliti sahaja mungkin mencecah RM 800 hingga RM 1,000.
Jika dia mempunyai tiga orang anak yang bersekolah, mampukah dia menyediakan pakaian, makanan, perlengkapan sekolah dan segala perbelanjaan yang lain secukupnya? Maka, terpaksalah dia melakukan kerja lain untuk dijadikan sumber pendapatan kedua.
Biasanya golongan sebegini akan hanya dapat pulang ke rumah di waktu lewat malam ketika anak-anak sudahpun lena dibuai mimpi. Bilakah masanya dia hendak bertemu dengan mereka dan membentuk sahsiah peribadi keluarganya dalam suasana penuh kasih sayang?
Kemiskinan bandar tidak harus dipandang enteng kerana berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), hampir tiga perempat daripada rakyat Malaysia (75%) kini tinggal di bandar, di mana kos sara hidupnya terus meningkat saban tahun.
Kemiskinan yang seolah-olah ‘diwariskan’ dari generasi ke generasi menjadikan mereka golongan yang ketinggalan dan terus hanyut dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan mahupun sosial.
Hal sedemikian menjadi bagaikan suatu kitaran warisan kemiskinan yang sukar dihentikan dan sekiranya berterusan, pasti menjejaskan agenda membentuk negara kita menjadi negara maju.
Dalam artikel yang berjudul ‘Sifar Kemiskinan, Sejahtera Kemanusiaan’ yang lalu juga, berdasarkan kajian, penulis telah menyimpulkan istilah kemiskinan sebagai ketidakcukupan wang atau sumber yang mengakibatkan ketidakmampuan untuk seseorang manusia hidup dengan bermaruah dalam menyara kehidupan mereka sendiri.
Ishak (1996) pula mendefinisikannya sebagai ‘satu keadaan apabila isirumah tidak memperolehi pendapatan yang cukup bagi menampung sejumlah perbelanjaan untuk keperluan asas yang minimum seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan asas bukan makanan’.
Kemiskinan bandar pula boleh ditakrifkan dalam dua cara – sebagai standard mutlak berdasarkan jumlah minimum pendapatan yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan yang sihat secara minima, dan sebagai standard relatif yang ditetapkan berdasarkan purata taraf hidup dalam sesebuah negara (McDonald & McMillen, 2008).
Sebagai contoh, tidak seperti di kawasan berpendapatan sederhana, kanak-kanak miskin di bandar majoritinya tinggal di rumah yang terlalu kecil, selalunya tanpa pengawasan ibu bapa, dan berjaga malam ketika mereka seharusnya tidur.
Natijahnya, prestasi persekolahan mereka terjejas, bukanlah disebabkan ibu bapa tidak bertanggungjawab kerana membiarkan perkara ini berlaku tetapi mereka terlalu sibuk mencari pendapatan untuk menampung kos sara hidup keluarga, sebagaimana disebutkan di atas tadi.
Tidak kita nafikan, kemiskinan merupakan masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh semua negara di dunia kerana ia berpotensi untuk menyuburkan benih-benih jenayah dan pelbagai gejala sosial. Kecenderungan untuk melakukan tindakan di luar norma kehidupan seperti menipu, mencuri, merompak, menerima rasuah, malahan melacur akan meningkat di kala seseorang itu berterusan dihimpit kemiskinan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُوْنَ كُفْرًا وَ كَادَ الْحَسَدُ أَنْ يَسْبِقَ الْقَدَرَ
“Hampir-hampir sahaja kefakiran akan menjadi kekufuran dan hampir saja hasad mendahului takdir.”
Isu kemiskinan juga berkait rapat dengan pengagihan kekayaan negara. Sesebuah negara walaupun berpendapatan tinggi, tanpa pengagihan kekayaan atau pengurusan dana dan pendapatan yang baik akan mempunyai ramai rakyat yang hidup di dalam kemiskinan.
Kos sara hidup yang tinggi adalah perkara yang semakin mencengkam golongan berpendapatan rendah atau B40 ini.
Positifnya, kerajaan Malaysia sentiasa memberi perhatian yang wajar bagi membantu menangani masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut.
Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang merangkumi tempoh antara 2016 hingga 2020 direncanakan untuk mengatur langkah negara ke arah status negara maju dengan keterangkuman yang lebih meluas.
Misalnya, bagi golongan miskin bandar khususnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambil inisiatif mewujudkan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Program ini bertujuan untuk membantu warganegara Malaysia dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah di bandar meningkatkan kualiti hidup di samping mengurangkan beban tanggungan keluarga.
Kumpulan sasar PPKB pastinya adalah terdiri daripada isi rumah B40, iaitu isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM 3,860 sebulan.
Usaha ini akan dapat dicapai dengan berpaksikan kepada enam tunjang strategik meliputi pelbagai isu pembangunan termasuk ekuiti, keterangkuman, kelestarian alam sekitar, pembangunan modal insan dan infrastruktur.
Sehingga artikel ini diterbitkan, seluruh tanahair masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Harapan dan doa penulis, semoga kita semua segera bebas daripada kemelut kemanusiaan berskala epik ini.
Didoakan juga mudah-mudahan tidak ramai, khususnya rakyat Malaysia, yang akan terjerumus ke lembah kemiskinan, sejurus berakhirnya malapetaka Covid-19.
Baca Juga: Plastik Dan Lautan: Kebaikan Atau Kemusnahan?
Ditulis oleh: Fazrul Ekram bin Mohd Yusof
Sumber rujukan:
https://www.hmetro.com.my/nuansa/2018/09/380572/menangani-miskin-bandar
https://www.mier.org.my/old/newsarticles/archives/pdf/DrZul22_08_2016.pdf
https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/285
https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=bm5MMldnTFEzb0k0TEwrdTdWb0ZjUT09
https://www.sinarharian.com.my/article/41533/KOLUMNIS/Kemiskinan-bandar-rakyat-Malaysia