Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Covid-19. Siapa sangka? Makhluk halus yang membawa musibah besar itu datang membadai di saat kita sedang teruja melihat sejauh mana wawasan kepimpinan negara terdahulu telah mencapai matlamatnya.

Hatta, ada netizen yang berjenaka dengan menyatakan ‘Wawasan 2020 adalah satu Malaysia duduk di rumah’, suatu kombinasi ucapkata yang seringkali dilafazkan oleh tiga Perdana Menteri kita yang mutakhir.

Bukan hanya di Malaysia yang masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu artikel ini dititipkan, malah seluruh dunia juga turut merasai implikasi dan impak virus korona tersebut.

Pastinya, pada setiap kejadian yang berlaku, ada baik dan ada buruknya. Mungkin ramai yang memilih untuk melihat sisi gelap sang Covid-19, umpama setitik dakwat hitam yang menitis di atas sekeping kertas putih.

Tumpuan kita biasanya akan lebih cenderung untuk memfokus pada titik hitam itu sedangkan kertas putih yang bersih dan suci itu jarang sekali dihargai kewujudannya.

Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Tidak dinafikan, segalanya bertukar sukar ketika ini. Ada yang kehilangan mata pencarian, ada yang terpaksa mempertaruhkan nyawa saban hari (khususnya barisan hadapan), tidak dapat bergerak ke sana sini dan sebagainya.

Penulis terkenang kembali janji Ilahi yang berulang dalam Al-Quran pada Surah Al-Insyirah, ayat ke-5 dan 6. Allah s.w.t. telah berfirman mafhumnya “Maka sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan.”

Direfleksikan daripada ayat ini, sewajarnya kita menginsafi bahawa kita tidak seharusnya bersikap negatif ketika melalui fasa ujian sebegini bahkan perlu untuk terus bersabar dan bersikap optimistik serta memandang kepada hikmah di sebaliknya.

Pada artikel kali ini, penulis ingin mengajak para pembaca untuk membuka minda dan bersama-sama menerokai impak positif di sebalik malapetaka Covid-19.

Ketika ini, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa Ramadhan yang pastinya menuntut kesabaran. Bezanya kali ini tiada lagi Bazaar Ramadhan mahupun Bufet Ramadhan di hotel-hotel dan restoran mewah.

Di antara hikmah yang dapat dilihat, penurunan kadar pembaziran makanan di Malaysia yang telah mencecah 16,650 tan setiap hari pada 2019.

Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Ya, inilah pembaziran yang dilakukan oleh kita dan jumlah tersebut sebenarnya boleh memenuhi keperluan 2.2 juta orang untuk makan, tiga kali sehari! Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Isra’ ayat ke-27 yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah amat ingkar kepada Tuhannya”.

Dari sudut sosial, seluruh masyarakat mula menyedari tentang perkara-perkara yang perlu diutamakan seperti kesihatan, kekeluargaan dan kemanusiaan.

Kita meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga kerana kebetulan, majoriti daripada kita sekarang bekerja dari rumah.

Hubungan kekeluargaan pastinya dapat dieratkan, apatah lagi ketika ini, ibu bapalah yang bertanggungjawab mengambil alih tugas para guru untuk mengajar matapelajaran sekolah anak-anak di rumah sendiri. Segala kekuatan dan kelemahan si anak dapat dikenalpasti secara terus dan diperbaiki oleh ibu bapa.

Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Ramai juga yang mula rajin memasak di rumah kerana punya banyak waktu terluang, yang pastinya sangat membantu untuk berjimat-cermat.

Ada juga kalangan datuk dan nenek yang sudah mula mahir menggunakan panggilan video dengan pelbagai aplikasi demi untuk berhubung dengan cucu-cucu mereka.

Selain daripada itu, golongan gelandangan yang sebelum ini ‘ibarat melukut di tepi gantang’ sedikit sebanyak telah terbela nasib mereka apabila diberikan tempat perlindungan dan bekalan makanan oleh pihak kerajaan.

Ramai juga dermawan dan badan-badan NGO yang sudi tampil menghulurkan pelbagai jenis bantuan buat mereka yang memerlukan.

Semasa PKP, kesemua pusat hiburan telah ditutup. Hal ini bermakna penularan gejala sosial dan kegiatan maksiat dapat dikawal daripada terus berleluasa.

Apatah lagi, masyarakat kini telah melaksanakan penjarakan sosial yang pastinya dapat membendung pergaulan bebas di luar batasan.

Di samping itu, sepanjang tempoh Fasa 1 hingga 3 PKP, kita dapat menyaksikan penurunan indeks jenayah di seluruh negara sebanyak 70 peratus.

Menyentuh perihal ekonomi, kesedaran untuk mempunyai wang simpanan mula timbul dalam kalangan masyarakat, terutamanya ketika menghadapi waktu kecemasan.

Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati sebanyak 75% rakyat Malaysia mempunyai simpanan kurang daripada RM 1 ribu. BNM juga menyatakan cuma 6% sahaja rakyat Malaysia yang mempunyai cukup wang untuk meneruskan hidup selama 6 bulan!

Masyarakat juga mula sedar betapa perlunya untuk mewujudkan sumber kewangan kedua bagi memastikan kelangsungan hidup sekiranya sumber pendapatan utama terjejas.

Tidak kurang pula ada yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan atas talian menggunakan aplikasi internet yang selari dengan peredaran zaman.

Sementara itu, harga runcit petrol telah jatuh dengan begitu drastik. Bagi rakyat marhaen seperti penulis dan kebanyakan pembaca, ibarat mimpi indah menjadi nyata apabila melihat harga petrol RON-95 misalnya, telah jatuh sehingga hanya RM 1.25 seliter. Sahabat saya seorang tuan punya beberapa buah stesen petrol mungkin sudah berhenti membaca artikel saya setakat ini sahaja.

Melihat kesan positif terhadap alam sekitar pula, kita dapat menyaksikan beberapa buah sungai yang teruk tercemar dan berkeladak sebelum ini telah kembali bersih dan jernih kehijauan seperti yang berlaku pada Sungai Klang dan Sungai Melaka misalnya.

Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Di peringkat global, kita bersyukur apabila sebuah lubang besar berdiameter 20 juta kilometer persegi pada lapisan Ozon telah mula tertutup.

Masakan tidak, indeks pencemaran udara di seluruh dunia terutamanya bandar-bandar besar seperti Delhi, London, Milan, Los Angeles dan Beijing contohnya, telah menurun dengan signifikan setelah berdekad-dekad berada pada paras yang memudaratkan.

Natijahnya, di seluruh dunia kita mula mendengar berita tentang pelbagai jenis fauna yang muncul keluar apabila persekitaran menjadi semakin bersih.

Contohnya, sekawanan obor-obor telah mula memasuki saluran air di Venice, Itali; kanggaru turut kelihatan meloncat keriangan di tengah jalanraya di Adelaide, Australia dan banyak lagi penampakan yang lain.

Hikmah Dalam Musibah – Di Sebalik Covid-19

Fenomena sebegini agak sukar atau hampir mustahil untuk berlaku andaikata Covid-19 tidak datang bertamu, meskipun ia makhluk yang tidak kelihatan dek pandangan mata.

Mungkin ini suatu bukti mengapa insan yang bertaqwa itu antara cirinya adalah mempercayai pada yang ghaib, dan bukannya pada yang materialistik.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-3 yang mafhumnya “iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Semoga kita semua terus menjadi insan-insan yang sentiasa melihat hikmah di sebalik musibah, walau bagaimana burukpun situasi yang kita hadapi. Teruskan berusaha dan bersama kita berdua, kemudian kepada Tuhan yang Maha Esa jualah kita berserah.

Baca Juga: 7 Prinsip Dan Pelajaran Di Dalam Al-Quran Bagi Menangani Krisis Covid-19

Ditulis oleh: Fazrul Ekram bin Mohd Yusof

Rujukan:

https://www.theverge.com/2020/4/22/21230917/air-quality-pollution-coronavirus-lockdown-social-distancing-cities

https://www.wlns.com/top-stories/the-largest-arctic-ozone-hole-ever-recorded-is-now-closed/

http://www.astroawani.com/gaya-hidup/16-668-tan-dibuang-setiap-hari-ini-inisiatif-tesco-atasi-pembaziran-makanan-220299

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/674126/covid-19-indeks-jenayah-malaysia-turun-70-peratus

https://www.sinarharian.com.my/article/67672/SUARA-SINAR/Analisis-Sinar/Ramai-tiada-wang-simpanan-kecemasan

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sungai-melaka-bertukar-jernih-kehijauan-sejak-pkp-240004

https://time.com/5824807/jellyfish-in-venice/

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami