Fenomena Li Ziqi Dan Apa Kaitannya Dengan SDG 15

SDG 15 - Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi

SDG 15 – Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi. Adakah anda mengenali Li Ziqi? Li Ziqi adalah seorang ‘Vlogger (Video Blogger’) dan selebriti internet yang terkenal di dunia.

Dia adalah seorang gadis yang berasal dari wilayah Sichuan, China. Penulis secara peribadi mula mengenalinya apabila ditunjukkan salah satu videonya di laman Facebook oleh seorang kenalan pada awal tahun lalu.

Ia adalah rakaman video seorang wanita yang sedang membina pondok beserta buaian yang diperbuat dari kayu. Video itu kini secara keseluruhannya mempunyai sebanyak 7.8 juta tontonan di laman Facebook dan Youtube . Agak lumayan bukan bagi sebuah video yang dihasilkan bersendirian yang berkisar tentang pertukangan?

Ini kerana apa yang ingin ditonjolkan oleh gadis berusia 29 tahun ini di dalam video tersebut dan juga video-video lain yang dihasilkannya, bukanlah sekadar tentang teknik pertukangan, kraftangan, pertanian dan seni masakan Cina, akan tetapi adalah tentang keistimewaan kehidupan di kawasan luar bandar, yang jauh dari hiruk pikuk kota dan kepesatan teknologi.

SDG 15 - Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi

Dalam salah satu rancangan temubual eksklusif bersamanya, Li Ziqi berkata yang dia amat memahami isu tekanan hidup yang dihadapi oleh majoriti masyarakat bandar baik di rumah atau di tempat kerja (Li Ziqi sendiri mempunyai pengalaman bekerja di bandar selama beberapa tahun sebelum pulang semula ke kampung halamannya).

Maka melalui medium video-video yang dihasilkannya, dia ingin membantu mengurangkan keresahan dan tekanan tersebut dengan menawarkan sesuatu yang bersifat terapi dan mampu memberi ketenangan.

Pengisian video Li Ziqi juga dipenuhi dengan daya tarik kehidupan di pedalaman dengan matlamat untuk berkongsi kepada generasi baru masyarakat di China tentang sumber asal makanan yang mudah mereka perolehi di pasaraya-pasaraya.

Di dalam setiap videonya, Li Ziqi akan menunjukkan kawasan persekitaran rumahnya yang dipenuhi dengan segala macam kebun sayur-sayuran, buah-buahan dan tumbuhan herba yang menjadi bahan asas dalam video masakannya.

Masyarakat di perkampungannya juga menanam sendiri pokok padi di sawah-sawah mereka. Selain itu, dia juga juga sering merakamkan kawasan pergunungan di kampungnya yang menjadi tempat dia mencari cendawan ‘shiitake’, beri liar, buluh, sumber kayu dan bermacam lagi hasil hutan untuk kegunaan harian.

Li Ziqi juga selalu berkongsi dengan pengikutnya tentang bagaimana memanfaatkan setiap bahagian dalam tumbuhan misalnya batang pokok teratai dan kulit jagung samada sebagai sumber makanan atau menjadi produk kraftangan. Ini mengajar kita untuk lebih hemat dan tidak mensia-siakan sumber alam yang ada.

Li Ziqi kini telah mempunyai seramai 50 juta peminat di China dan sekitar 8 juta lagi dari seluruh pelusuk dunia yang lain. Apakah yang boleh kita kaitkan kisah hidupnya dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)? Penulis ingin mengajak pembaca melihat dari sudut kepentingan menjaga sumber alam.

SDG 15 - Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi

SDG ke-15, Hidupan di daratan (Life on Land) bermatlamat untuk mewujudkan pengurusan hutan yang lestari, memerangi pencerobohan hutan, menghentikan dan mengurangkan degradasi tanah serta menghentikan kepupusan biodiversiti.

Tanpa hutan, kawasan tanah yang subur dan kepelbagaian flora dan fauna, adalah mustahil untuk manusia meneruskan kelangsungan hidup di mukabumi.

Ini kerana setiap komponen hidupan dan benda bukan hidup di atas planet ini adalah saling berinteraksi dan saling memerlukan sebagai satu asas semulajadi yang dijadikan tuhan.

Contohnya dapat kita lihat dari apa yang dipersembahkan oleh Li Ziqi di mana hutan dan kawasan pertanian menjadi elemen penting dalam kehidupannya di luar bandar.

SDG 15 - Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi

Malahan bagi kita yang tinggal di bandar juga, kita juga amat bergantung kepada kawasan hutan sebagai sumber makanan, oksigen, sumber air bersih dan pertahanan dari pemanasan global. Antara fakta yang perlu kita ambil berat di sini adalah:

  • Hutan meliputi seluas kira-kira 31% dari kawasan daratan, dengan 1.6 billion manusia bergantung hidup kepadanya. Dari jumlah itu, 70 juta adalah dari kalangan orang asli.
  • Kawasan hutan adalah tempat tinggal kepada lebih daripada 80 peratus spesies haiwan daratan, tumbuh-tumbuhan dan serangga.
  • Kawasan hutan hujan tropika mengeluarkan kira-kira 40% dari oksigen di mukabumi
  • Setiap tahun, 13 juta hektar hutan hilang, sementara degradasi berterusan tanah kering telah menyebabkan 3.6 bilion hektar tanah menjadi gersang dan tandus, yang amat menjejaskan kehidupan komuniti miskin khususnya
  • Akibat dari aktiviti penerokaan hutan tersebut, risiko kepupusan spesies hidupan liar telah meningkat sehingga 10% dalam jangkamasa 25 tahun yang lalu
  • 6 bilion manusia bergantung hidup secara langsung kepada pertanian, tetapi 52 peratus daripada tanah yang digunakan untuk pertanian pada masa kini telah samada sederhana atau teruk terjejas oleh degradasi tanah.
  • Aktiviti pemburu haram dan penyeludupan hidupan liar masih berleluasa dengan hampir 7000 spesies haiwan dan tumbuhan diseludup secara haram di 120 buah negara.

SDG 15 - Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi

Situasi hutan dan kepelbagaian biologi di Malaysia kini juga semakin membimbangkan. Berdasarkan rekod misalnya, cuma tinggal kurang dari 200 ekor harimau Malaya dan kira-kira 2000 ekor gajah Borneo yang tinggal di hutan kita.

Pada 27 Mei yang lalu pula, spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan di negara ini telah mati dengan meninggalkan cuma seekor badak betina yang terakhir yang masih hidup.

Dari tahun 1983 hingga 2003, terdapat pengurangan sebanyak 4.9 juta hektar kawasan hutan di Malaysia, diterokai untuk pembalakan, perladangan dan penempatan manusia.

Konflik di antara komuniti orang Asli dengan kerajaan negeri juga kerap berlaku kerana tempat tinggal mereka yang sering dimusnahkan untuk tujuan penerokaan hutan dan pembalakan.

Maka tindakan yang lebih ampuh baik secara berperingkat atau drastik harus diambil bagi menangani situasi tersebut. Kerajaan Persekutuan sendiri dalam belanjawan untuk tahun 2020 telah mengambil inisiatif dengan memperuntukkan RM5 juta untuk membiayai inisiatif SDG dan RM20 juta untuk menggajikan lebih ramai renjer hutan termasuk dari kalangan orang Asli.

SDG 15 - Dan Kaitannya Dengan Fenomena Li Ziqi

Geran sebanyak RM10 juta pula disediakan untuk menjana skim baru untuk sektor korporat dan kewangan untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam.

Bagi kita sebagai individu pula, apakah perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu usaha memastikan kelestarian alam semulajadi kita ini? Antaranya menurut WWF Malaysia dan ;

  • Amalkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) – Banyakkan penggunaan semula barang terpakai dan kitar semula bahan buangan kita. Ia akan memulihara sumber semulajadi, tenaga dan mengurangkan penggunaan tanah untuk tempat buangan sampah. Boleh lihat video Li Ziqi sebagai inspirasi.
  • Kurangkan penggunaan kertas atau membelilah dari pengeluar yang mengamalkan pengurusan hutan yang efisien (polisi tanam semula)
  • Kurangkan penggunaan plastik. Plastik adalah sumber pencemar utama di darat dan lautan. Sokonglah polisi-polisi pengurangan plastik yang dilaksanakan di tempat anda
  • Elakkan membeli produk dari kulit, bulu atau apa-apa bahagian tubuh haiwan yang terancam. Tanpa ada permintaan, pemburuan haram akan berkurangan.
  • Elakkan membunuh dan menangkap haiwan-haiwan liar walaupun untuk peliharaan. Habitat mereka adalah di hutan, bukan di dalam sangkar
  • Cubalah pertanian sebagai hobi! Pasti seronok bukan jika kita ada halaman rumah seperti di rumah Li Ziqi. Bagi yang tinggal di apartment atau flet, ada teknik bertani yang sesuai dilakukan di dalam kawasan yang terhad. Mungkin kami akan kongsikan dalam artikel yang mendatang.

Mudah-mudahan masa depan negara ini akan lebih baik untuk kita wariskan kepada generasi yang seterusnya. Marilah kita menjadi duta seperti Li Ziqi supaya lebih ramai orang akan mencintai alam semulajadi!

Baca Juga: SDG 6-Sumber Air Bersih Dan Sanitasi

Ditulis Oleh: Fathi Abd Rashid

 

Sumber:

https://www.undp.org/content/undp/en/home/sustainable-development-goals/goal-15-life-on-land.html

https://www.un.org/sustainabledevelopment/biodiversity/

http://www.wwf.org.my/?27345/Prudent-Budget-2020-Spending-Crucial-to-Reverse-Biodiversity-Loss

https://web.facebook.com/cnliziqi/

https://raknife.com/li-zi-qi/

https://liziqishop.com/blogs/li-ziqi/li-ziqi-biography-story-age

https://www.youtube.com/channel/UCoC47do520os_4DBMEFGg4A

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami