Eksplorasi Angkasa Lepas Atau Lautan : Mana Yang Lebih Utama?

Eksplorasi Angkasa Lepas Atau Lautan : Mana Yang Lebih Utama?

Beralih sebentar daripada isu wabak Covid-19 dan protes ke atas penyalahgunaan kuasa yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia, baru-baru ini juga sebuah syarikat besar dari Amerika Syarikat, SpaceX telah berjaya melancarkan sebuah roket ke angkasa lepas.

Walaupun ia bukanlah misi pertama mereka, tetapi kali ini mereka berjaya untuk pertama kalinya menghantar dua angkasawan dengan kapsul angkasa mereka sendiri yang bernama Crew Dragon ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Eksplorasi Angkasa Lepas Atau Lautan : Mana Yang Lebih Utama?

Sejak NASA menghentikan projek kapal angkasanya pada 2011, mereka hanya sering ‘menumpangkan’ angkasawan mereka menaiki kapal Soyuz kepunyaan Rusia.

Tetapi kini pad pelancar roket di US kembali ‘dihangatkan’ dengan adanya SpaceX. SpaceX yang diasaskan oleh usahawan terkenal, Elon Musk adalah syarikat persendirian pertama yang berjaya mempunyai kapal angkasanya sendiri.

Bermula dengan misi pertamanya pada 2012, kini SpaceX terus mengorak langkah dalam mencapai visi untuk menghantar manusia ke angkasa lepas secara komersial baik untuk penyelidikan atau pelancongan.

Eksplorasi Angkasa Lepas Atau Lautan : Mana Yang Lebih Utama?

Ini pasti akan membuka lembaran baru dalam usaha ke arah penerokaan angkasa lepas bagi kebaikan manusia sejagat. Anda tak mampu untuk membayangkannya? Bolehlah tonton filem yang dikeluarkan pada tahun lalu bertajuk Ad Astra lakonan Brad Pitt untuk gambaran lebih jelas.

Angkasa lepas Vs Lautan

Tetapi pernahkah anda bandingkan  pengetahuan manusia tentang alam semesta dengan apa yang kita ketahui tentang isi lautan kita?

Menurut kajian, segala planet, bintang dan galaksi yang dapat dilihat adalah merangkumi 4% dari alam semesta, manakala bakinya adalah ‘dark matter’, yakni perkara yang tak dapat dilihat dan dikaji dengan teknologi semasa.

Tentang lautan pula, menurut National Oceanic & Atmosphere Administration USA (NOAA), lebih 80% daripada lautan di seluruh dunia masih belum diterokai dan dipetakan.

Data ini menunjukkan lautan adalah suatu yang masih misteri kepada manusia sebagaimana alam semesta juga.

Mengambil contoh lain, sejak 1969, setakat ini seramai 12 orang angkasawan telahpun berjaya dihantar bulan, dengan berpuluh lagi misi lain dilancarkan ke angkasa lepas.

Namun, hanya empat orang manusia pernah sampai ke titik terdalam di mukabumi iaitu Challenger Deep di Jurang Mariana lautan Pasifik.

Eksplorasi Angkasa Lepas Atau Lautan : Mana Yang Lebih Utama?
Image via Wikipedia

Jurang ini berkedalaman hampir 11 kilometer (jika ditenggelamkan gunung Everest kedalamnya, masih berbaki lebih sebatu untuk mencecah paras air laut) dan menjangkau panjang 2,550km.

Seperti juga misi penerokaan angkasa lepas, penerokaan lautan juga amat berisiko dan memerlukan kos yang tinggi. James Cameron, pengarah tersohor di Hollywood (Titanic, Avatar) misalnya, dikhabarkan telah mengeluarkan perbelanjaan persendirian kira-kira sebanyak USD 10 juta bagi membiayai misi solonya kedalam Jurang Mariana pada tahun 2012.

Cabaran terbesar bagi misi seperti ini adalah suhu yang menghampiri beku dan daya tekanan yang semakin tinggi apabila menuju ke dasar lautan (mampu mencecah 1000 bar atau bersamaan tekanan 50 pesawat jumbo yang ditindih atas seorang manusia).

Oleh itu, kapal selam yang direka khas perlu dibina untuk misi ini. Keadaan lautan yang gelap likat (cahaya matahari sukar menembusi setelah 200 meter) juga menyulitkan lagi proses penerokaan lautan.

Berbeza dengan alam semesta yang boleh diterokai dan dikaji menggunakan teleskop super, alam lautan tidaklah semudah itu kerana banyak keterbatasan yang perlu diambil kira.

Teknologi-teknologi terkini seperti satelit, boya saintifik dan gelombang sonar banyak membantu bagi kajian di paras permukaan laut. Namun untuk kajian laut dalam, masih memerlukan penggunaan probe dan kapal selam berteknologi tinggi.

Kepentingan Lautan

 Antara fakta lain yang menunjukkan kepentingan lautan kepada manusia adalah;

Eksplorasi Angkasa Lepas Atau Lautan : Mana Yang Lebih Utama?

  • Selain menjadi sumber protein melalui hasil laut, lautan juga merupakan penyumbang terbesar kepada oksigen di seluruh dunia iaitu sebanyak kira-kira 80%!. Ia dihasilkan oleh spesies phytoplankton yang banyak di permukaan lautan.
  • Lautan juga berperanan untuk menyerap kira-kira 30% CO2 yang dihasilkan oleh manusia. Ia sekaligus mengurangkan impak pemanasan global di seluruh dunia.
  • Lautan merupakan habitat kepada banyak spesies hidupan liar yang unik dan jarang ditemui. Setakat ini 200,000 spesies telahpun dikenalpasti, namun angka sebenarnya dijangka mencecah jutaan spesies.
  • Walau di dalam jurang yang paling dalam sekalipun, masih ada spesies yang mampu hidup di dalamnya. Bayangkan bagaimana kemampuan survival-nya untuk menahan tekanan yang amat tinggi di situ. Malah ada sel hidupan laut dalam yang dikaji mampu untuk hidup selama 1000 tahun!
  • Beberapa kajian juga sedang dibuat untuk mempelajari tentang ‘bioluminescent’ – kemampuan hidupan laut dalam untuk menghasilkan cahayanya sendiri, untuk diaplikasikan dalam teknologi di daratan
  • Menurut UNESCO, lautan adalah sekutu penting dalam menentang wabak Covid-19. Sejenis bakteria yang ditemui di dalam laut telah digunakan sebagai ‘rapid testing’ dalam mengesan kehadiran virus tersebut. Kepelbagaian spesies hidupan di lautan juga meningkatkan potensi kepada syarikat farmaseutikal untuk menghasilkan penawar kepada virus Covid-19.

 

SDG 14 – Hidupan dalam Lautan

 Disebabkan pentingnya peranan lautan kepada manusia, PBB telah meletakkan salah satu sasaran di dalam SDG adalah untuk memulihara dan memastikan penggunaan sumber lautan dan marin secara mampan.

Ini kerana, eksploitasi berlebihan ke atas lautan dan kesan pencemaran akan menyebabkan banyak kepupusan hidupan marin dan mengganggu kestabilan alam sekitar. Antara buktinya adalah;

  • Populasi stok ikan telah berkurangan dari 90% pada tahun 1974 kepada 67% pada 2015.
  • Kadar keasidan lautan telah meningkat sebanyak 26% kerana aktiviti pembebasan CO2 yang tinggi oleh manusia, dan dijangka akan meningkat kepada 100-150% pada 2100. Perkara ini sangat merbahaya kepada hidupan marin dan kemampuan lautan untuk menyerap CO2.
  • Kira-kira 20% daripada terumbu karang di seluruh dunia telah pupus dengan 24% lagi berpotensi untuk musnah dalam masa terdekat akibat daripada aktiviti manusia
  • Pencemaran bendasing dari daratan terutamanya plastik sedang mengancam kepada kepupusan banyak hidupan laut. Mikroplastik ditemui dalam banyak bangkai-bangkai ikan dan hidupan laut yang mati terdampar. Malah di dalam Jurang Mariana juga ada ditemui beg plastik!

sdg 14

Maka oleh sebab itu, kita haruslah meningkatkan usaha bersama untuk menjaga dan memulihara lautan kita. Eksplorasi lautan berbanding angkasa lepas yang penulis cadangkan bukanlah bermaksud untuk kita lebih menjarah hasil-hasilnya, akan tetapi supaya kita lebih mengenal dan menghargai apa yang ada di dalam lautan kita. Takut-takut menjadi seperti apa yang pepatah lama kita kata,

 

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran..”.

Penulis:

Fathi Abd Rashid

 

Sumber:

  1. Drake, Nadia. (2020). “SpaceX launches new era of spacelight with company’s first crewed mission”. National Geographic.

https://www.nationalgeographic.com/science/2020/05/spacex-nasa-launch-human-astronauts-crew-dragon-international-space-station-demo-2/

  1. Kershner, Kate. “Do we really know more about space than the deep ocean?”

https://science.howstuffworks.com/environmental/earth/oceanography/deep-ocean-exploration.htm

  1. Wikie, Emma. (2018). “Ocean vs Space: Scientist debate next frontier”

https://signalhfx.ca/ocean-vs-space-scientists-debate-next-frontier/

  1. Morelle, Rebecca. (2019). “Mariana Trench: Deepest-ever sub dive finds plastic bag”. BBC News.

https://www.bbc.com/news/science-environment-48230157

  1. Nunez, Christina. (2019). “Climate 101: Oceans”. National Geographic.

https://www.nationalgeographic.com/environment/habitats/ocean/

  1. https://www.undp.org/content/undp/en/home/sustainable-development-goals/goal-14-life-below-water.html
  2. https://www.un.org/sustainabledevelopment/oceans/

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami