COVID-19 : Cabaran Pendidikan Era Pandemik

COVID-19 : Cabaran Pendidikan Era Pandemik

Pandemik  COVID-19 masih aktif melanda seluruh dunia pada saat ini. Menurut sumber dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ianya kini sudah menjangkiti lebih dari 3 juta umat manusia (sehingga 30.4.2020).

Jumlah kematian pula dicatatkan melebihi 200,000 orang di seluruh dunia (sehingga 30.4.2020). Kes pertama yang dilaporkan kepada badan dunia tersebut pada 31.12.2019.

Walaubagaimanapun, menurut ‘South China Morning Post’; virus COVID-19 ini dikatakan pertama kali ditemukan di Wuhan,China pada 17.11.2019.

Malaysia turut tidak terlepas dari cengkaman pandemik COVID-19. Menurut sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ianya sudah menjangkiti seramai 6002 orang (sehingga 30.4.2020) dengan jumlah kematian seramai 102 orang (sehingga 30.4.2020).

Jika dilihat dari segi statistik jangkitan dan kematian, pandemik COVID-19 ini sangat merbahaya dan boleh menjangkiti kepada sesiapa sahaja dan sehingga kini masih belum ada lagi vaksin yang berjaya dihasilkan.

Atas sebab yg demikian, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan “Perintah Kawalan Pergerakan” (PKP) di seluruh negara. Tujuannya, bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

COVID-19 : Cabaran Pendidikan Era Pandemik

Bahkan tidak cukup dengan itu, turut disusuli dengan “Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan” (PKPD) bagi kawasan yang mempunyai bilangan kes yang tinggi. Ianya bertujuan membendung jangkitan COVID-19 dari menular keluar daripada kawasan yang terlibat.

Akibatnya, segala urusan atau aktiviti tidak dapat dilaksanakan seperti biasa dan terbatas biasa kecuali beberapa perkhidmatan penting (essential).

Tidak terkecuali aktiviti persekolahan yang melibatkan pendidikan awal kanak-kanak. Sekolah telah ditutup selama berminggu-minggu dan ini menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Turut terjejas, peperiksaan awam di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan untuk membatalkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) & Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020.

Kementerian Pendidikan juga telah menunda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi  tahun 2020 ke tahun hadapan.

Bagi mengatasi permasalahan pembelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merencanakan beberapa aktiviti bagi mengisi ruang cuti persekolahan.

Antara usaha yang diambil adalah dengan mengadakan Slot Program TV Pendidikan di saluran TV Okey bermula 6 April 2020 sehingga tamat PKP.

Selain itu, pengunaan kaedah pembelajaran alternatif melalui Google Classroom sebagai pilihan walaupun ianya telah dilancarkan oleh KPM pada bulan Julai 2019.

COVID-19 : Cabaran Pendidikan Era Pandemik

Para guru juga begitu kreatif mengunakan segala kemahiran IT mereka dengan menggunakan kaedah pembelajaran online seperti google doc, google meet, zoom, youtube,  quizizz dan lain-lain lagi.

Para guru juga dilihat aktif dalam ‘whatapps group’ dan ‘telegram group’ bagi membantu para pelajar supaya tetap terus mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Namun demikian, bukan semudah itu untuk menjayakan gaya pendidikan/pembelajaran terbaru tersebut. Ianya datang dalam keadaan yang mengejut dan tidak disangka-sangka.

Kebanyakan guru-guru dan pelajar-pelajar masih belum bersedia dengan normal baharu ini. Pendidikan gaya baharu memerlukan peranti khusus, sekurang-kurangnya “smartphone”.

Begitu juga dengan capaian internet. Lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman jika kawasan tempat tinggal tiada liputan internet.

Ini mungkin menjadi masalah yang besar bagi ibubapa yang berpendapatan rendah atau kurang berpengetahuan tentang IT. Itu belum dikira lagi jika mempunyai anak-anak yang ramai.

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) iaitu kerajaan Malaysia akan membiayai Internet Percuma sebanyak 1GB bermula 1 April 2020 sehingga PKP berakhir.

Data internet ini dapat digunakan setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Ini pasti dapat digunakan sebaik-baiknya oleh para pelajar dalam dalam kaedah pembelajaran yang terkini.

Inilah “New Normal” yang diucapkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan beliau sebelum ini.

Bersedia atau tidak, suka atau tidak, cabaran ini tetap perlu diharungi oleh setiap rakyat Malaysia terutamanya guru-guru, pelajar-pelajar termasuk ibubapa.

SDG 17-Kerjasama Demi Matlamat – Muafakat Membawa Berkat

Sesi persekolahan mungkin akan ditutup buat masa yang agak panjang bagi menjamin keselamatan anak-anak. Buat masa ini, ini sahaja cara pembelajaran anak-anak bagi menjamin keselamatan mereka dari ancaman COVID-19.

Marilah sama-sama kita berdoa agar bencana pandemik COVID-19 ini akan segera berakhir. Firman Allah dalam Al-Quran, Surah Al-Inshirah Ayat 5-6 : Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Semoga apa yang berlaku ini akan memberi pelajaran yang besar untuk seluruh umat manusia.

Baca Juga: Kita Tidak Berada Di Dalam Satu Kapal Yang Sama

Ditulis Oleh: MN Hanif

 

Sumber Rujukan:

https://www.mkn.gov.my/web/ms/covid-19/

http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-upsr-pt3-tahun-2020-dibatalkan-238484%3famp=1

https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/677554/amp

https://selangorkini.my/2020/04/cabaran-mengajar-dalam-talian-semasa-pkp/

 

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami