Apa Itu Teknologi Hijau Dan Dasar Teknologi Hijau Negara

teknologi hijau

Salam perpaduan para pembaca mampankini.com. Kali ini saya akan hidangkan pada anda topik yang menarik dan seronok untuk dikupas iaitu berkenaan teknologi hijau.

Jika kita lakukan carian dilaman sesawang kita akan dapati pelbagai kajian yang telah dilakukan oleh para ilmuan dan saintis-saintis hebat diluar sana berkenaan topik ini.

Di sini saya akan cuba berkongsi secara santai dengan pengisian yang ilmiah lagi penuh kesedaran bagi memberikan kefahaman kepada kita semua. Insyallah..

Kini kita sudah menjengah tahun 2020 dan tidak sampai sebulan kita sudah menyaksikan pelbagai kemusnahan diluar skala normal.

Kebakaran dan kemusnahan hutan dan habitat haiwan di Indonesia,  Brazil dan Australia telah memperlihatkan bahawa kita sudah sampai disatu titik dimana kerosakan yang berlaku tidak boleh diundurkan semula, bak kata orang jawa “the damage is done”.

Dan lebih memburukkan keadaan tindak tanduk kita sekarang terus menjurus kearah kemusnahan ekologi dan jika tidak dibendung, kemusnahan tidak dapat dielakan.

teknologi hijau

Kita di Malaysia juga tidak terlepas terkena tempias-tempias kerosakan ekosistem dan alam sekitar yang sudah kita lalui dalam bebearapa tahun kebelakangan ini.

Cuaca yang tidak menentu, suhu panas, banjir setiap tahun, jerebu, pencemaran air dan pelbagai lagi cabaran yang terpaksa kita tempuhi sama ada suka atau tidak.

Namun kita masih lagi berpeluang  untuk melambatkan proses kerosakan ini dengan perkembangan teknologi hijau dan inovasi yang mesra alam.

Dan jika digunapakai secara meluas, komersial dan mampu dimiliki. Insyallah! kita mampu untuk menyelamatkan dunia dari terus dirosakkan.

Antara sudut yang ingin penulis kongsikan adalah berkenaan manfaat penggunaan teknologi hijau,  cabaran-cabaran yang perlu tempuhi dan usaha kerajaan Malaysia dalam mempromosikan teknologi hijau di Negara Malaysia tercinta ini. Nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca.

APA ITU TEKNOLOGI HIJAU?

Teknologi merupakan aplikasi dari ilmu pengetahuan bagi penggunaan yang lebih praktikal dan efisien. Manakala teknologi hijau merujuk kepada pelbagai aspek didalam teknologi itu sendiri, dimana ia membantu mengurangkan impak manusia terhadap alam sekitar dan menjadi salah satu jalan menuju pembangunan mampan.

Kesamarataan sosial, murah, jimat, mesra alam dan kemampanan merupakan indikator utama bagi pembangunan teknologi hijau.

Seperti namanya sendiri iaitu Teknologi Hijau mempunyai satu tujuan iaitu “Hijau”. Namun ia tidak bermaksud berkenaan warna.

Ciptaan teknologi hijau adalah satu ciptaan mesra alam yang melibatkan ciptaan cekap tenaga, kitar semula, keselamatan, kesihatan dan sumber yang boleh diperbaharui dan lain-lain yang seangkatan dengannya.

teknologi hijau

Ia menggunakan sains dan teknologi dalam usaha untuk melindungi alam sekitar. Terdapat pelbagai kaedah atau teknik digunakan yang berada dalam kategori teknologi hijau.

Antaranya kimia hijau, penataan alam sekitar, bangunan hijau dan lain-lainnya. Kesemua kaedah atau metadologi ini harus memastikan alam sekitar kekal terpelihara.

Matlamat utamanya, adalah untuk menghidupkan kembali kerosakan ke atas ekosistem. Ia juga turut dikenali sebagai teknologi alam sekitar atau teknologi bersih.

Teknologi hijau juga diaplikasikan pada pembangunan dan penggunaan produk, alatan dan sistem yang digunakan untuk memelihara sumber dan alam sekitar, dimana ia mengurangkan kesan negatif yang terhasil daripada aktiviti manusia.

Aplikasi pada produk , peralatan atau sistem yang dirujuk sebagai teknologi hijau harus memenuhi kriteria dibawah:-

  1. Meminimumkan kemusnahan alam sekitar
  2. Pembebasan gas rumah hijau sifar atau lebih rendah. Pelepasan emisi yang selamat dan meningkatkan kualiti alam sekitar yang lebih sihat untuk semua.
  3. Memelihara penggunaan tenaga dan sumber alam
  4. Mempromosikan penggunaan sumber yang boleh diperbaharui.

Sebagai contoh, industri pembuatan kereta sekarang sudah beralih arah dengan pengunaan teknologi hybrid dan elektrik bagi mengantikan petrol dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon.

teknologi hijau

Dan kebanyakan pengangkutan awam seperti Komuter, ERL , LRT , MRT sudah lama menggunakan tenaga elektrik .

Teknologi hijau yang menggunakan sumber yang boleh diperbaharui mempunyai potensi ekonomi yang besar dan membuka peluang pelaburan yang baik kepada para pelabur dan usahawan.

Pasaran teknologi hijau telah berkembang dengan agak pesat dengan keuntungan yang besar. Dari sudut sebagai pengguna pula anda harus tahu bahawa membeli dan menggunakan teknologi hijau pula boleh mengurangkan kos bayaran bil bulanan dan menggunakan produk teknologi hijau adalah lebih selamat dan sihat.

BAGAIMANA TEKNOLOGI HIJAU BOLEH DIMANFAATKAN?

  1. Kitar Semula

Teknologi hijau membantu menguruskan sisa bahan  kitar semula. Ia dapat membantu bagi tujuan yang bermanfaat. Teknologi ini digunakan didalam industri mengurusan sisa, sisa pembakaran dan lain—lain.

Terdapat pelbagai bahan kitar semula yang boleh digunakan untuk menghasilkan baja tumbuhan, arca, bahan api dan juga perabot.

  1. Pembersihan Air

Teknologi hijau membersihkan air. Keterdesakan untuk mendapatkan air minuman yang bersih menjadi keutamaan. Berdasarkan penggunaan pelbagai teknologi, banyak kempen telah berjaya memberikan masyarakat air minuman yang bersih.

Contohnya seperti syarikat Coway dan Cucko  telah berjaya menembusi sebahagian besar masyarakat di Malaysia dalam menyediakan air bersih melalui kempen pemasaran mereka yang agresif.

  1. Membersihkan Udara

Menangani pembebasan karbon juga merupakan satu fokus utama. Seiring dengan pelbagai teknologi yang dibangunkan oleh manusia. Industri automotif, perkilangan dan lain-lain menyumbang kepada pembebasan karbon yang tinggi dan merosakan alam sekitar.

Teknologi hijau dapat membantu mengurangkan pembebasan karbon dan membersihkan udara. Ini membolehkan manusia dan semua yang bernyawa dapat bernafas dengan lebih baik.

teknologi hijau

  1. Memulihara Tenaga

Teknologi hijau mampu untuk memulihara tenaga. Kini pelbagai alternatif telah diperkenalkan bagi mengantikan peranti yang menggunakan banyak tenaga elektrik atau bahan bakar.

Sebagai contoh, penggunaan kereta elektrik semakin meningkat dan kita dapat lihat penggunaan yang tinggi di United Kingdom. Masyarakat yang menggunakan peranti mesra alam juga amat mengalakan.

Walaupun pemasangan peranti mesra alam ini agak mahal bagi sesetangah orang, contohnya panel solar namun manfaat dalam mengurangkan perbelanjaan sangat besar.

  1. Memperbaharui Ekosistem

Teknologi Hijau atau Teknologi Bersih juga bermanfaat untuk memberi nafas baru ke dalam ekosistem yang telah mengalami kerosakan akibat tangan manusia.

Melalui penggunaan teknologi ini, pokok ditanam semula, sisa diurus dan dikitar semula. Ini memastikan ekosistem yang terjejas dapat berjalan semula, sekaligus terus dipelihara.

Usaha ini membantu memastikan tumbuh-tumbuhan dan spesies haiwan tidak pupus dan terpelihara dengan baik. Bumi perlukan perlindungan dan teknologi hijau mampu memberikan solusi yang tepat bagi menyelamatkannya kerana kita semua bergantung hidup diatas muka bumi ini.

CABARAN TERHADAP TEKNOLOGI HIJAU

Teknologi hijau memang mampu untuk memberikan solusi yang baik kepada kita dan juga bumi ini. Namun terdapat cabaran yang perlu dihadapi, umumnya bagi mengantikan teknologi hijau dengan teknologi sedia ada melibatkan kos yang tinggi.

Ini kerana ia mengambil kira kos bagi pemeliharaan alam sekitar diluar proses produksi konvensional. Disebabkan teknologi hijau masih baru, kos pembangunan dan latihan yang berkaitan akan menjadi lebih tinggi  berbanding teknologi sedia ada.

Untuk menikmati manfaat daripada teknologi hijau, ia juga bergantung kepada beberapa faktor yang lain seperti ketersediaan infrastruktur sokongan, kesediaan teknologi, sumber manusia mahir dan elemen geografi turut mempengaruhi.

Selain itu, terdapat halangan lain yang mengekang penggunaan teknologi hijau. Antaranya kekangan institusi, seperti kekurangan rangka kerja pengawalseliaan yang sesuai, kekangan teknologi, kewangan, politik, budaya atau hal-hal lain berkaitan perundangan.

Dari perspektif syarikat perusahaan pula, cabaran terbesar bagi mengaplikasikan teknologi hijau tentulah berkenaan perbelanjaan pelaksanaan yang tinggi.

teknologi hijau

Selain itu, kekurangan maklumat, tidak mempunyai sumber alternatif bagi sumber mentah atau bahan kimia yang digunakan, impak terhadap produksi, kekurangan sumber manusia dan kemahiran turut menjadi cabaran bagi menerapkan teknologi hijau secara total.

Secara realitinya untuk menyelesaikan halangan dan cabaran ini, ia perlu melalui proses yang sangat rumit.  Oleh itu, keperluan untuk mengenalpasti dan mencari penyelesaian  bagi setiap cabaran yang menghalang penggunaan teknologi hijau dalam skala besar bagi sebuah negara amat diperlukan dalam usaha mempromosikan teknologi hijau di semua peringkat.

DASAR TEKNOLOGI HIJAU NEGARA (DTHN)

Negara kita tidak ketinggalan dalam usaha untuk mempromosikan teknologi hijau ini, dan kita sudah merangka dasar – dasar teknologi hijau sejak tahun 2009.

Teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009 dan Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) telah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan mapan.

Dasar Teknologi Hijau Negara berasaskan empat tunggak berikut:

  1. Tenaga –  Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
  2. Alam Sekitar – Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
  3. Ekonomi – Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi
  4. Sosial –  Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Berdasarkan 4 tunggak diatas. Telah digariskan lima (5) objektif yang perlu dicapai, iaitu;

  1. Untuk menyelaraskan pertumbuhan industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangan Teknologi Hijau terhadap ekonomi Negara.
  2. Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi Negara.
  3. Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persada antarabangsa.
  4. Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
  5. Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau.

Teknologi Hijau

Disamping itu, usaha kerajaan untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan insentif – insentif yang dimasukkan didalam Belanjawan Negara diantaranya;

  1. Dalam Bajet 2010, kerajaan memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS)
  2. Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan.
  3. Pembeli rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik.
  4. Jumlah pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.

Berikut beberapa maklumat berkenaan Dasar Teknologi Hijau yang boleh penulis kongsikan. Masih terdapat banyak maklumat yang boleh dipelajari berkenaan DTHN. Untuk maklumat lanjut berkenaan DTHN anda boleh layari laman sesawang ini ;- (https://www.perpaduan.gov.my/sites/default/files/Dasar%20Teknologi%20Hijau%20Negara%20II.pdf)

KESIMPULAN

Melihat kepada usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia, anda boleh menilai bahawa teknologi hijau masih berada difasa awal dan masih banyak yang perlu dilakukan bagi merancakkan pertumbuhan dan penggunaan teknologi hijau dinegara kita.

Berdasarkan matlamat jangka pendek yang dipetik di Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan mensasarkan supaya kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan Teknologi Hijau itu sendiri.

Oleh itu, atas dasar kesedaran dan rasa tanggunjawab penulis dan rakan-rakan terpanggil untuk berkongsi kepada para pembaca berkenaan teknologi hijau dan memberi secebis kesedaran kepada kita semua dalam usaha menyelamatkan generasi penerus.

Mungkin ada dikalangan pembaca mampankini yang mempunyai ilmu, kepakaran dan berada di posisi yang membolehkan pelaksanaan teknologi hijau ini diterapkan dalam industri yang diceburi atau syarikat masing-masing.

Sedikit sebanyak peranan yang dimainkan oleh setiap diri mampu untuk menggerakan matlamat dan hajat bersama dalam membentuk Negara Malaysia yang lebih lestari melalui penggunaan teknologi hijau akan tercapai.

Akhir kalam izinkan penulis berkongsi beberapa potong ayat suci Al Quran sebagai pedoman untuk hari esok.

Allah berfirman,

“ Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur. “ (Al-Araf : Ayat 10)

“Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan” (Al-Araf : Ayat 25)

“Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat.” (Yunus : Ayat 10)

Penulis berharap perkongsian kali ini memberi manfaat kepada kita semua dan berdasarkan firman Allah, hidup dan mati kita hanyalah dimuka bumi.

Dan kita sebagai peganti-penganti orang terdahulu bertanggungjawab untuk memelihara bumi ini melalui segala usaha berdasarkan ilmu pengetahuan, teknologi dan komitmen bersama. Insyallah usaha baik kita mendapat keberkatan disisi Allah Swt. Alhamdulillah.

Penulis: Ahmad Suhaimi Bin Abd Rashid

 

Rujukan:

  1. https://www.perpaduan.gov.my/sites/default/files/Dasar%20Teknologi%20Hijau%20Negara%20II.pdf
  2. https://farihinzul1974.blogspot.com/2015/03/teknologi-hijau-tingkat-kualiti-hidup.html
  3. Http://www.granthaalayah.com ©International Journal of Research – GRANTHAALAYAH [1-5]
  4. https://www.mestecc.gov.my/web/wp-content/uploads/2019/04/8.-National-Green-Technology-Policy-2009-Dwi-Bahasa.pdf

5.       Al-Quran Terjemahan

Sharing Is Caring:
Facebook
WhatsApp
Twitter
LinkedIn
Telegram

Subscribe Channel Telegram Kami Untuk Mendapatkan Artikel Terkini

© 2020 All rights Reserved. Design by Team Mampan Kini

Tentang Kami​ | Terma | Penafian | Hubungi Kami