Setiap diri mempunyai hobi yang berbeza-beza di dalam memenuhi ruangan masa lapang. Antara penyebab utama seseorang menceburi bidang hobi yang diminati adalah untuk mencapai kepuasan diri sendiri.
Tetapi, tahukah anda bahawa terdapat satu hobi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, bahkan kepada keluarga, masyarakat, alam sekitar dan penyumbang kepada “Sustainable Development Goals (SDGs)”.
Hobi yang dimaksudkan tersebut adalah Akuaponik. Sebelum diceritakan dengan lebih lanjut tentang kelebihan hobi ini, mari kita kenali dulu Apakah Itu Akuaponik?.
AKUAPONIK adalah gabungan antara kaedah menternak hidupan akuatik dan bercucuk tanam tanpa tanah secara serentak di dalam satu sistem yang bersepadu.
Secara istilahnya adalah gabungan antara akuakultur dan hidroponik. Dengan menggabungkan kedua-dua sistem hidroponik dan akuakultur ini, akuaponik memanfaatkan kelebihan daripada kedua-duanya dan menghapuskan kekurangan masing-masing.
Sistem akuaponik ini berfungsi di dalam persekitaran simbiotik. Sisa buangan daripada ternakan akuatik akan menyediakan sumber makanan organik untuk tanaman dengan bantuan bakteria yang menukarkan ammonia kepada nitrat.
Seterusnya, tanaman pula menyerap nitrat melalui akar-akarnya yang secara semulajadi akan menyaringkan air untuk hidupan akuatik.
Pelbagai kaedah, rekabentuk dan peralatan teknologi akuaponik telah dicipta pada masa kini serta mempunyai pilhan kos, saiz ruangan, peralatan, kemudahan utiliti dan saiz skala mengikut keperluan.
Ianya boleh dibina secara ‘DIY’ di rumah atau dibeli daripada pengusaha sistem akuaponik ataupun dibuat dalam skala besar-besaran untuk tujuan komersil.
Secara asasnya, sistem ini mempunyai dua bahagian utama iaitu tempat untuk penanaman dan tempat ternakan hidupan akuatik seperti ikan.
Pam air diperlukan untuk membawa sisa daripada takungan ternakan ikan ke tempat penanaman untuk diserap sebagai sumber nutrisi kepada tumbuhan. Air yang ditapis akan dikembalikan semula ke takungan ikan secara berterusan.
Kelebihan Sistem AKUAPONIK.
Teknik penanaman secara akuaponik memberi banyak faedah dan keuntungan khusus kepada pengusahanya. Antaranya ialah pengeluaran hasil tanaman boleh mencapai 10 kali ganda lebih banyak berbanding kaedah penanaman biasa walaupun menggunakan keluasan ruang yang sama.
Dengan erti kata lain, ruang tanaman yang kecil dapat memberi hasil yang banyak. Ini adalah kerana setiap akar tanaman dalam sistem ini mendapat sumber air baja yang kaya dengan nutrisi dengan sekata sekaligus menyebabkan kadar pertumbuhannya adalah seragam.
Pertumbuhan tanaman pula adalah 2 kali ganda lebih cepat berbanding kaedah tanaman konvensional. Ianya sangat sesuai untuk digunakan di halaman kediaman rumah yang terhad keluasannya terutamanya di kawasan bandar.
Selain daripada itu, sistem ini juga tidak perlu melakukan aktiviti penyiraman tanaman. Hanya 5% penggunaan air sahaja diperlukan dalam penanaman akuaponik berbanding penanaman atas tanah. Sangat menjimatkan air bukan?
Kerja-kerja berkebun seperti mencabut rumput, menggemburkan tanah dan membaja tidak lagi diperlukan. Gangguan perosak dan penyakit tanaman yang berpunca daripada tanah juga berkurangan kerana sistem akuaponik tidak melibatkan penggunaan tanah secara terus.
Apa yang perlu anda lakukan untuk menjaga sistem akuaponik adalah hanya dengan memberi makan ternakan ikan 2 atau 3 kali sehari dan membuat penyelenggaraan setiap 2 atau 3 bulan serta menuai hasil apabila ianya matang.
Penggunaan racun kimia terhadap tanaman juga perlu dielakkan sepenuhnya kerana ianya akan menjejaskan ternakan akuatik serta ekosistem akuaponik. Oleh itu, hasil sayuran sudah pasti segar dan bebas daripada bahan kimia yang merbahaya.
Dari segi kepuasan peribadi pula, keindahan landskap, kehijauan tanaman, liuk-lentok ikan yang berenang-renang serta deruan air yang mengalir di halaman rumah pastinya memberi ketenangan kepada peminat hobi akuaponik.
Pasti perasaan tenang dan aman menjengah lebih-lebih lagi apabila setelah penat seharian bekerja di pejabat atau tempat kerja masing-masing.
Kepuasan maksimum adalah apabila anda dapat menuai sayur-sayuran serta menangkap ikan di halaman rumah tanpa perlu bersesak di pasar tani mahupun pasar raya. Bonusnya pula ialah anda dapat mengurangkan perbelanjaan dapur.
Tidak mahu kalah dengan hobi bermanfaat yang lain, anda juga dapat menjadikan sistem akuaponik sebagai sumber pendapatan sampingan dengan menjual sayur-sayuran dan ternakan ikan sekiranya ia dibuat dengan skala yang lebih besar.
Sekiranya berminat dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang sistem akuaponik, anda boleh lawati dan ‘like dan follow’ laman Facebook penulis iaitu:
Lit Akaponik https://www.facebook.com/litakuaponik/ .
Jangan lupa set ‘See First’ untuk tidak ketinggalan tentang semua perkongsian tentang AKUAPONIK !