Pada saat ini dunia sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan terbesar sejak perang dunia kedua iaitu peperangan menentang Covid-19.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, jumlah kematian di seluruh dunia pada ketika ini menghampiri angka 184,000 dengan lebih 2.6 juta telah dijangkiti dengan virus tersebut.
Walaupun trend penurunan mula ditunjukkan di kebanyakan negara, namun dijangka tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk memastikan dunia benar-benar bebas dari wabak ini.
Norma stail hidup yang baru mula dilaungkan sebagai persediaan setiap lapisan masyarakat dalam menjalani kehidupan pasca Covid-19 ini nanti.
Bersempena dengan memasuki bulan Ramadan Al-Mubarak, penulis ingin berkongsi tentang tujuh prinsip dan pelajaran yang boleh didapati dari kitab Al-Quran agar dapat membantu kita dalam mendepani krisis ini;
1.Memakan makanan yang halal dan baik untuk kesihatan
Maksudnya: “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.”(Al-Maa’idah:88)
Meskipun punca sebenar virus Covid-19 ini masih belum dikenalpasti, banyak teori dan spekulasi mengatakan yang ia bermula dari sebuah pasar di Wuhan, China yang menjual ternakan dan haiwan eksotik sebagai sumber makanan.
Meskipun sudah terlambat bagi mencegahnya, adalah sangat penting bagi kita mengamalkan tabiat pemakanan yang baik supaya situasi seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.
Tabiat memakan haiwan liar dan eksotik harus dicegah kerana ia melanggar norma alam dan mengakibatkan kepupusan spesies tersebut.
Selain itu, selagi vaksin kepada virus Covid-19 ini belum ditemui, apa yang kita mampu buat adalah dengan menjaga sistem pertahanan badan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.
Perbanyakkan buah-buahan dan sayuran yang tinggi kandungan vitamin dan mineral yang baik untuk imunisasi tubuh. Ramai doktor yang mencadangkan bahawa sumber alami dan semulajadi adalah terbaik bagi maksud ini.
2.Prinsip menurut dan mematuhi peraturan dari pemimpin/kerajaan.
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisaa’:59)
Malaysia pada ketika ini diakui sebagai antara negara yang terbaik di dalam menangani wabak Covid-19. Antara faktor yang mempengaruhi keberhasilan ini adalah disebabkan majoriti rakyat Malaysia patuh pada undang-undang yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, lebih 97% rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjarakan sosial, dengan hanya segelintir yang masih degil dan terpaksa diambil tindakan undang-undang.
Setelah sebulan kempen ‘stay at home’ ini dilaksanakan, kini hasilnya dapat kita lihat dengan penurunan drastik dari segi statistik jangkitan harian.
Ironinya, negara barat seperti US dan negara-negara Eropah yang selama ini dijulang sebagai negara-negara kelas pertama pula yang mengalami situasi paling buruk dalam serangan wabak ini.
Sistem ekonomi dan pentadbiran yang dipengaruhi oleh konsep ‘Laissez-Faire’ iaitu mengutamakan kebebasan hak individu/entiti tanpa campurtangan kerajaan dilihat antara faktor kegagalan usaha menghalang penyebaran Covid-19 di sana.
Perintah berkurung sukar dilaksanakan dan ditentang banyak pihak atas anggapan ia akan melumpuhkan ekonomi walaupun banyak nyawa yang akan tergadai.
3.Memastikan kesahihan berita dan khabar angin yang tular di media sosial
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa kamu mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (An-Hujuraat:6)
Dengan kemajuan internet dan media sosial di Malaysia, kini lebih mudah bagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terbaru tentang isu-isu semasa, tempatan dan seluruh dunia.
Namun acapkali juga maklumat yang disampaikan adalah kurang tepat dan bersifat khabar angin.
Misalnya, dalam isu wabak Covid-19 sekarang, banyak tertular berita-berita palsu yang membuatkan masyarakat bertindak panik dan di luar jangkaan.
Di Texas, USA, beberapa protes dianjurkan bagi menentang perintah berkurung kerana tersebarnya berita bahawa wabak Covid-19 hanyalah teori konspirasi dan propaganda media semata-mata.
Penyebaran berita seperti ini dengan tanpa menyelidiki sumbernya malah menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk kepada semua pihak. Oleh sebab itu, dapatkanlah informasi dari sumber yang sahih dan saluran yang tepat.
4.Kepentingan memastikan jaminan bekalan makanan
Di dalam surah Yusuf (12), dari ayat 43 hingga ayat 49 ada menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf di dalam penjara, di mana dia diminta untuk mentafsirkan mimpi Raja Mesir ketika itu.
Nabi Yusuf mentafsirkan bahawa akan berlaku kemarau panjang dan tempoh yang sulit pada masa hadapan, yang mana mereka perlu bersedia dengan menyimpan makanan dari waktu tersebut.
Pelajaran dari kisah ini adalah pentingnya untuk memastikan bekalan makanan yang cukup bagi keperluan rakyat di sesebuah negara.
Ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang kedua iaitu Sifar Kebuluran yang pernah kami huraikan dalam artikel lepas.
Dalam keadaan hampir seluruh dunia melaksanakan perintah berkurung, pastinya setiap negara akan mengutamakan keperluan rakyat masing-masing. Maka negara yang bergantung pada sumber makanan import akan mengalami kesulitan besar kelak.
Mujurlah kerajaan negara kita telah membuat persediaan awal dengan memastikan stok makanan yang cukup dalam tempoh PKP ini.
Kerajaan juga dilihat mengambil tindakan yang strategik dengan mengumumkan beberapa Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu rakyat yang terbeban dan memastikan aliran ekonomi berjalan seperti biasa.
5.Menjaga kebajikan di dalam komuniti dan kejiranan
Maksudnya: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga diri.” (An-Nisaa’:36)
Selain tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan, kita sebagai rakyat juga perlulah mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan di kalangan kita.
Terkadang kita tidak perlu melihat jauh, boleh mulakan dengan bertanya khabar keadaan jiran tetangga jika mereka memerlukan bantuan.
Tambahan pula jika diketahui ada keluarga yang dalam kesempitan ekonomi atau mempunyai anak-anak yatim.
Apalah salahnya bagi yang ada rezeki lebih untuk berkongsi dengan yang lain, malahan pula kita sudah memasuki bulan Ramadan, dimana setiap ganjaran pahala akan dilipat gandakan.
6.Kepentingan untuk menjaga kelestarian alam sekitar
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Al-Anbiyaa’:107)
Beberapa haiwan liar seperti kelawar dan tenggiling telah dikatakan sebagai sumber asal virus Covid-19. Walaupun masih dalam kajian, ramai pejuang pencinta alam yang mengaitkan penularan wabak ini sebagai suatu reaksi alam ke atas perbuatan manusia yang sering membuat kerosakan kepada alam sekitar.
Tenggiling misalnya adalah antara haiwan yang menuju kepupusan kerana habitatnya yang banyak diterokai dan merupakan mamalia yang paling tinggi diseludup di seluruh dunia.
Satu sisi positif dari wabak yang tidak diingini ini adalah bagaimana kita melihat alam semulajadi mulai ‘pulih’ kepada keadaan asalnya.
Pengurangan pelepasan asap dan gas berbahaya dari industri perkilangan, kenderaan awam dan sektor penerbangan misalnya, menyebabkan peningkatan kualiti udara yang jarang dapat dinikmati.
Contohnya pergunungan Himalaya di utara India telah dapat dilihat dari jarak jauh sejak kira-kira 30 tahun. Begitu juga keadaannya di bandar-bandar yang biasanya sesak seperti Jakarta dan termasuk juga di Kuala Lumpur.
Gambar terusan Venice yang diambil melalui satelit pula menunjukkan perubahan yang ketara dari segi kejernihan air berbanding setahun yang lalu akibat kurangnya aktiviti di sungai tersebut.
Diharap perubahan positif ini akan dapat dikekalkan pada pasca wabak Covid-19 ini nanti dengan meningkatnya kesedaran untuk menjaga alam sekeliling kita.
7.Hadapi krisis dengan perpaduan yang kukuh tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan taraf hidup
Maksudnya: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujuraat:13)
Penulis secara peribadi melihat kunci kepada usaha berhadapan dengan wabak Covid-19 ini adalah bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia dapat bersama-sama bersatu padu tanpa mengira perbezaan yang ada di antara kita.
Walaupun kita sering berselisih berkenaan isu-isu politik, sosial dan bangsa, namun apabila diuji dengan krisis ini, dilihat kita masih mampu sama-sama mematuhi undang-undang yang dilaksanakan dan saling membantu mereka yang di dalam kesusahan.
Inilah suatu perkara yang harus kita banggakan dan kekalkan dalam setiap diri kita dan anak-anak kita. Mereka harus faham bahawa apa jua ujian yang melanda, jika dihadapi secara matang dan bersama, pasti akan dapat ditempuhi dengan jayanya.
Moga-moga pada masa hadapan, kita akan dapat melihat Malaysia yang lebih bersatu padu dengan toleransi dan jiwa perdamaian yang tinggi.
Baca Juga: Kemiskinan Bandar Suatu Realiti Yang Sukar
Ditulis Oleh: Fathi Abd Rashid
Sumber:
1) Klasifikasi Al-Quran (SynergyMedia), Penyusun: Syamsul Rijal Hamid, m/s 215, 330 & 459
2) https://www.bbc.com/news/science-environment-51892402
3) https://fee.org/articles/could-sweden-s-laissez-faire-approach-to-the-coronavirus-actually-work/
5) https://www.theguardian.com/environment/2020/apr/18/covid-19-a-blessing-for-pangolins